WASHINGTON – Pakar penyakit berjangkit, Anthony Fauci antara tiga anggota pasukan COVID-19 yang akan menjalani kuarantin kerana terdedah patogen berbahaya itu.

Media-media Amerika Syarikat (AS) melaporkan, Jumaat lepas Setiausaha Akhbar kepada Naib Presiden, Mike Pence didapati positif dalam ujian saringan Covid-19.

Ini sekaligus membuatkan rata-rata pemimpin kanan Rumah Putih bimbang dengan laporan tersebut.

Selain daripada Fauci, nama pasukan Covid-19 Rumah seperti Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC), Robert Redfield serta Pesuruhjaya Makanan dan Perubatan (FDA) Stephen Hahn dijangka akan menjalani tempoh kuarantin.

Fauci akan menjalani kuarantin yang sudah diubah suai kerana tidak memiliki kontak rapat dengan pesakit COVID-19 itu.

Malah Fauci yang sememangnya penting kerana berperanan sebagai ketua penyakit berjangkit dj Institut Kesihatan Nasional itu akan bekerja dari rumah dan memakai topeng selama dua minggu.

Setakat ini juga, ujian Covid-19 harian beliau masih menunjukkan negatif.

Menurut kenyataan CDC dan FDA, Redfield dan Hahn terpaksa dikuarantin selama dua minggu selepas terdedah kepada kontak COVID-19.

Rumah Putih mendedahkan, AS menguji sekitar 248,000 orang sehari dan telah menguji sekitar 8.1 juta orang setakat ini bagi tangani pandemik tersebut.

Ketika ini, AS juga berada di tangga teratas dengan kes positif sebanyak 1,347,318 manakala kematian pula sudah mencecah sehingga 80,040 kes setakat hari ini sahaja. –MalaysiaGazette