PETALING JAYA – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah meminta penduduk yang berada dalam kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman (PJO) supaya bertenang.
Beliau berkata, mereka perlu mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh penguatkuasaan itu.
Katanya, pada hari pertama penguatkuasaan PKPD, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan kira-kira 1,200 bakul makanan untuk diedarkan kepada penduduk dalam kawasan itu.
“Bekalan makanan ini selain untuk penduduk tempatan, juga akan diagihkan kepada warga asing, pelarian mahupun pendatang tanpa izin (Pati) yang terperangkap di rumah sewa masing-masing.
“Kita harap mereka terus kekal tenang dan mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa. Adalah penting untuk mereka terus kekal berada di rumah.
“Kerjasama dengan pihak berkuasa ini penting bagi memutuskan rantaian penyebaran Covid-19 di kawasan itu yang kini sudah mencatatkan 26 kes positif,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kerajaan hari ini mengumumkan kawasan Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya diletakkan dalam penguatkuasaan PKPD berikutan terdapat 26 kes positif Covid-19.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh penguatkuasaan PKPD itu sehingga 23 Mei yang dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan.
Menurut Maria Chin, beliau berterima kasih kepada pihak yang membantu dan menyumbang bakul makanan tersebut untuk diagihkan kepada penghuni yang tinggal dalam kawasan berkenaan.
Katanya, beberapa pihak turut memberi kerjasama bagi melancarkan bantuan kemanusiaan itu ialah anggota Rela dan komuniti Rukun Tetangga. – MalaysiaGazette
















