Gambar Hiasan. foto FAREEZ FADZIL, 05 JUN 2019

PUTRAJAYA – Umat Islam yang bakal menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi diingatkan agar sentiasa mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika bersama dengan ahli keluarga masing-masing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka perlu mengamalkan penjarakan sosial pada setiap masa.

Malah, mereka juga tidak dibenarkan untuk bersalaman serta tidak boleh bercium pipi serta perlu mengamalkan penggunaan cecair pembasmi kuman.

“Sebagaimana Perdana Menteri katakan, iaitu pastikan penjarakan sosial dilaksanakan. Apabila ada kalangan yang datang melawat, pastikan kita lindungi warga emas contohnya,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Noor Hisham, apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung jumlah 20 orang dalam satu masa di rumah adalah merujuk kepada ahli keluarga dan bukannya menerima kunjungan pelawat ke rumah.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tidak menggalakkan perhimpunan diadakan atau membenarkan adanya kunjungan pelawat di setiap rumah.

“Nombor tu relatif, bergantung kepada rumah, kalau apartment tu kecil, kita bukan kata 20 orang,” ujarnya.

Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya mengenai ziarah 20 orang ke rumah pada satu-satu masa.

Perkara itu dinyatakan oleh Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas semalam.

Menurut Muhyiddin, kerajaan membenarkan aktiviti ziarah bersama jiran terdekat dan keluarga dalam negeri yang sama, dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Kelonggaran itu diberikan kepada rakyat yang menyambut tiga perayaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hingga 9 Jun ini, iaitu Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai. – MalaysiaGazette