Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrir Samad lega dengan pelantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengerusi Felda yang baharu.

Malah, beliau yakin sebahagian besar warga Felda juga berasa begitu kerana jawatan itu diisi oleh pemimpin UMNO yang cukup sederhana dan sentiasa mengutamakan kepentingan umum.

Bekas Pengerusi Felda itu berkata, Idris juga bukan individu yang calang-calang kerana seorang tokoh politik terpelajar.

”Tahap pendidikannya tidak kurang daripada kelulusan pendidikan orang-orang korporat yang telah dilantik menduduki Lembaga dan pengurusan tertinggi Felda oleh kuasa politik pasca PRU14.

”Pengerusi Felda yang pertama dilantik selepas PRU14, iaitu Tan Sri Megat Zaharudin, seorang tokoh korporat. Namun beliau berhenti sekerat jalan. Begitu juga bagi Tan Sri Bakke.

”Kalaulah dua tokoh korporat yang berpengalaman tidak lama menduduki kerusi pengerusi itu, ianya bukan kerana kerusi pengerusi itu bersifat ‘panas’ tetapi sengaja dipanaskan oleh pihak tertentu,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook.

Ini kerana, dakwa Shahrir, “pihak tertentu” ini tidak berminat atau menghormati peranan Felda dalam memenuhi keperluan Maqasid Syariah.

Sebaliknya, banyak pihak yang berusaha mengelirukan bahawa Felda sebuah syarikat milik kerajaan, iaitu sebuah badan korporat yang berkaitan dengan kerajaan kerana didorong agenda tersendiri terutama semasa kerajaan dipegang oleh Barisan Nasional

Bagi menguatkan naratif yang kononnya banyaknya kepincangan berlaku dalam Felda, puak yang sama menjanjikan akan ditubuh sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat Felda dan hutang-hutang peneroka dihapuskan sama sekali.

”Saya ingatkan kembali janji-janji puak pembangkang, dulu dan kini, bukan kerana warga Felda terpengaruh dengan penceritaan Pakatan Harapan tetapi kerana sesudah PH berkuasa, mereka pula tersilap berfikiran Felda sebuah badan korporat yang harus dipimpin oleh tokoh-tokoh korporat.

”Kesilapan ini yang meletakkan Felda dalam bahaya,” katanya sambil meminta Idris membetulkan kembali sikap kepimpinan dan pengurusan tertinggi Felda supaya agensi ini kembali kepada hala tuju asal. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Idris Jusoh dilantik pengerusi Felda

1 Komen

Comments are closed.