Liverpool hanya memerlukan dua perlawanan sahaja untuk menjulang Liga Perdana Inggeris.

LONDON – Selepas terhenti sejak awal Mac lalu, saingan bola sepak Liga Perdana Inggeris dijangka disambung semula pada 1 Jun ini.

Menurut laporan Sky Sports, Kerajaan United Kingdom (UK) telah memutuskan untuk membenarkan semua saingan sukan profesional untuk disambung semula pada tarikh berkenaan.

Keputusan itu turut melibatkan sukan lain seperti ragbi dan juga kriket.

Kerajaan UK kini sedang merencana beberapa langkah untuk kembali membolehkan rakyatnya menyambung semula kehidupan seperti biasa termasuk  industri sukan.

Namun ia membabitkan langkah kedua pelan strategik kerajaan untuk mengatasi wabak Covid-19.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kerajaan UK, pihaknya membenarkan aktiviti sukan dan budaya diadakan tanpa penonton untuk tujuan penyiaran sementara mengelakkan risiko kontak sosial secara besar-besaran.”

Dalam masa yang sama, pengurusan EPL juga telah bersidang bagi menentukan hala tuju musim 2019/2020 dengan kesemua 20 pasukan komited bagi menamatkan musim.

Lebih menarik, semua pasukan termasuk mereka yang berada di kelompok bawahan liga memilih untuk menghabiskan musim dengan perlawanan dimainkan seperti biasa menggunakan format laman sendiri dan tempat lawan.

Hal ini kerana, kelompok bawahan liga tidak mahu beraksi di gelanggang berkecuali disebabkan jika diadakan dengan cara sebegitu maka ianya akan menyebabkan peluang untuk kekal di EPL adalah tipis.

Ianya disebabkan apabila perlawanan diadakan di gelanggang berkecuali membawa maksud jumlah perlawanan akan berkurangan kerana itu mereka mahu menamatkan ke semua baki 92 perlawanan.

Hasil daripada perbincangan tersebut juga mendapati tiada pasukan yang mengusulkan supaya penyingkiran dimansuhkan untuk musim ini serta kontrak pemain akan dilanjutkan bagi mereka yang bergelar pemain tanpa kelab bermula 30 Jun ini. – MalaysiaGazette