Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan boleh melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat sekiranya kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah rendah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orang ramai tidak boleh mengambil kesempatan di atas kelonggaran syarat-syarat di bawah PKPB kerana Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) masih lagi diguna pakai dalam tempoh tersebut.

“PKPB ini bukan boleh terus kekal kerana kerajaan berhak untuk memperketatkan semula perintah tersebut.

“Ini semua tertakluk kepada kepatuhan rakyat terhadap syarat-syarat dan SOP di bawah PKPB.

“Jika kita lihat ramai yang tidak patuh, maka PKP akan diperkenalkan semula. Jika mahu terus menikmati sedikit kelonggaran di bawah PKPB, rakyat perlu patuh supaya kita semua boleh bergerak bebas sedikit dan seterusnya boleh menamatkan terus perintah ini,” tegasnya semasa sidang media hari ini.

Menurut Ismail Sabri beliau terkejut apabila melihat gambar-gambar ketidakpatuhan orang ramai terhadap SOP di bawah PKPB seperti yang tular di media-media sosial baru-baru ini.

Ini termasuk tidak mengamalkan penjarakan sosial, berkumpul di kawasan yang sesak, membawa anak ke pusat beli-belah dan sebagainya.

“Selain membawa anak ke pusat beli-belah, saya juga terkejut apabila melihat gambar orang ramai sedang bersesak-sesak di gerai dekat Kampung Pandan.

“Pada mulanya, saya ingat gambar tersebut adalah palsu tetapi setelah bertanyakan sendiri kepada Ketua Polis Negara, beliau mengesahkan gambar tersebut adalah tulen dan kejadian itu benar-benar berlaku.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya sedar PKPB masih tertakluk di bawah Akta 342.

“Apabila kerajaan menamatkan PKP, ini bukan bermakna kita semua telah bebas daripada akta berkenaan dan wabak,” katanya lagi.- MalaysiaGazette