Nor Shamsiah Mohd Yunus
KUALA LUMPUR, 13 Mei  — Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pendapatan bank dijangka berada dalam tekanan pada masa depan disebabkan terutamanya kerugian kredit tinggi berikutan kesukaran pembayaran semula dan meskipun tahap rosot nilai dilihat meningkat ia tidak mencecah paras yang boleh mengancam kestabilan kewangan.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ujian tekanan bank pusat menunjukkan bahawa sistem perbankan mampu bertahan dengan kejutan kewangan dan makroekonomi yang melampau termasuk senario yang tidak pernah dialami sebelum ini.

“Sistem perbankan sedang memasuki tempoh ini daripada kedudukan yang teguh. Bank-bank telah membina penampan modal yang kukuh…ia berada di paras lebih daripada dua kali ganda daripada apa yang institusi perbankan miliki semasa krisis kewangan global. Itu sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku pertama 2020.

Nor Shamsiah menegaskan kualiti pinjaman semasa bank adalah lebih kukuh memandangkan amalan pengurusan risiko diperkukuhkan mereka.

“Kita percaya yang ia akan membantu memelihara kapasiti pembayaran faedah hutang, dan mengurangkan kerugian kredit, dan itu adalah kedudukan awal menuju ke krisis ini,” katanya.

Mengenai moratorium pinjaman, beliau berkata akan ada kesan pengimbangan ke atas pendapatan bank daripada pengeluaran mudah tunai tambahan ke dalam sistem perbankan sebahagiannya daripada dana konsesi yang disediakan oleh kerajaan dan juga BNM bagi pemberian pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mengenai status terkini Kemudahan Bantuan Khas (SRF), yang disediakan sejak 6 Mac, Nor Shamsiah berkata bank pusat dan institusi kewangan yang menyertainya (PFI) telah berusaha menyediakannya dengan segera bagi memastikan PKS mendapat manfaat segera meskipun masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tumpuan kini adalah untuk mempercepatkan pengagihannya sejajar dengan kelonggaran PKP dan pembukaan semula sektor ekonomi, katanya.

Setakat 5 Mei, PFI telah meluluskan lebih daripada 20,000 permohonan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM10 bilion, dengan kadar kelulusan hampir 90 peratus.

“Kami akan memenuhi amaun yang telah diluluskan oleh PFI pada 4 Mei apabila had RM5 bilion dicapai dan ini bermakna peruntukan SRF kami akan ditingkatkan kepada RM10 bilion,” katanya.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata agensi penarafan memberikan prospek negatif bukan hanya kepada sistem perbankan di Malaysia sahaja tetapi sistem perbankan di seluruh Asia Pasifik.

Beliau berkata kebanyakan laporan daripada agensi penarafan mengetengahkan bahawa bank Malaysia sebahagian besarnya mengekalkan penampan penyerapan kerugian dan langkah-langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan dan BNM kebanyakannya adalah positif dalam membantu mengurangkan kesan ke atas kedudukan kewangan bank-bank. – MalaysiaGazette