Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan membenarkan hari raya pertama sahaja untuk keluarga terdekat kunjungi mengunjungi pada Hari Raya Aidilfitri, Pesta Keamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kunjungan itu bagaimanapun dihadkan kepada 20 individu sahaja.

Katanya, mereka mesti kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, iaitu penjarakan sosial, mencuci tangan dan memakai topeng muka.

Namun, kata beliau, had 20 orang itu boleh dikurangkan kepada lima individu pada satu masa sekiranya rumah dikunjungi itu kecil atau sempit dan berkeluasannya kurang dari 600 kaki persegi.

“Memandangkan tarikh tiga perayaan ini hampir dekat, kerajaan memutuskan hanya hari raya pertama sahaja dibenarkan untuk ahli keluarga terdekat kunjung mengunjungi.

“Hari raya kedua, ketiga dan seterusnya tidak dibenarkan. Malah, rumah terbuka juga dilarang sama sekali,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri turut menasihatkan orang ramai agar tidak sekali-kali mengunjungi ahli keluarga dalam kalangan warga emas kerana golongan itu terlalu mudah dijangkit virus Covid-19.

Bagi yang rumah kecil, katanya, tuan rumah boleh membenarkan lima ahli keluarga berkunjung dan selebihnya boleh datang secara bergilir-gilir pada satu masa.

“Apabila kita perkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) satu, dua, tiga, malah bersyarat (PKPB), tujuannya supaya kita berada dalam rumah untuk mengelakkan bertemu dengan ramai orang.

“Walaupun kerajaan sudah longgarkan peraturan itu, tetapi kalau boleh kita sendiri yang perlu ambil inisiatif dengan cuba mengelakkan dari berjumpa dengan orang ramai.

“Saya memberi contoh, di Bahrain, satu keluarga mengadakan majlis berbuka puasa bersama keluarga 16 orang. Akhirnya 16 ahli keluarga itu didapati positif Covid. Begitu juga di New Jersey Amerika Syarikat, empat sekeluarga adakan jamuan makan, akhirnya keempat-empat mereka positif Covid dan meninggal dunia,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun kerajaan membenarkan 20 orang boleh kunjung mengunjungi, tetapi mereka yang menentukan sama ada hendak mengurangkan kunjungan atau sebaliknya.

“Semuanya atas kita. Kita yang perlu ambil pendirian dan ketetapan siapa boleh datang beraya dengan kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast