Nik Norzrul.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani dilantik sebagai Pengerusi IIUM Holdings Sdn. Bhd.

Nik Norzrul Thani mempunyai pengalaman luas dalam dunia korporat, sebelumnya pernah dilantik sebagai Pengerusi dan Pengarah Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad, Pengerusi dan Pengarah Perodua Sales Sdn Bhd dan Perodua Otomobil Kedua Sdn Bhd.

Beliau juga pernah berkhidmat di dewan Manulife Holdings Berhad dan Manulife Insurance Berhad, UMW Holdings Berhad (termasuk Pengerusi UMW Manufacturing & Engineering), Fraser & Neave Holdings Berhad, MSIG Insurance (Malaysia) Bhd dan Ranhill Holdings Berhad.

Pada masa ini, Nik Norzrul Thani adalah Pengerusi dan Rakan Kongsi Kanan Zaid Ibrahim & Co., firma undang-undang terbesar di Malaysia dan anggota rangkaian undang-undang ZICO dengan kehadiran serantau di negara-negara Asia Pasifik.

Nik Norzrul Thani berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Buckingham, Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Queen Mary College, University of London dan Doktor Falsafah dalam bidang Undang-Undang dari School of Oriental and African Studies (SOAS), University London dan merupakan peguam di Law, Lincoln’s Inn.

Beliau juga pemegang Diploma Dalam Undang-Undang dan Amalan Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan merupakan ahli Chartered Institute of Marketing (United Kingdom) dan Felo Institut Perkhidmatan Kewangan Australasia (FINSIA).

Mengulas pelantikannya, Nik Norzrul Thani berharap dapat meningkatkan lagi kemampuan perniagaan dan kecekapan IIUM Holdings bagi mencapai objektif utamanya untuk melengkapkan inisiatif kewangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

”Saya berharap dapat bekerjasama dengan sektor korporat dan komersial secara amnya, serta alumni universiti khususnya untuk mengembangkan lagi potensi ekonomi IIUM Holdings,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

IIUM Holdings Sdn. Bhd. diperbadankan pada 25 April 2001 dan merupakan anak syarikat milik penuh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ia diwujudkan untuk memanfaatkan potensi perniagaan IIUM Holdings dengan tujuan utama menjadi cabang komersial universiti. – MalaysiaGazette