KUALA LUMPUR – Kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dua tahun lalu, mempunyai hikmahnya apabila rakyat dapat melihat sendiri ada pemimpin parti itu yang tidak berdaya tahan dalam perjuangannya.
Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebaik sahaja parti kalah dan tidak lagi menjadi kerajaan, ramai dalam kalangan pemimpin berkenaan keluar menyertai parti dari Pakatan Harapan (PH).
Sedangkan, kata beliau, kekuatan UMNO sebenarnya terletak pada solidariti dan kesetiaan seseorang pemimpin itu untuk terus bersama memperjuangkan matlamat parti, walaupun kalah.
“Solidariti adalah satu daripada tiang seri kekuatan UMNO. Solidariti boleh juga disamakan dengan kesetiaan kita kepada parti. Ia adalah tonggak.
“Walau kita hanya menang 79 kerusi dan kalah untuk memerintah, sudah ramai lompat menyertai parti kerajaan dari PH. Walhal, 79 kerusi itu adalah satu kekuatan yang luar biasa kita ada.
“Silap-silap Yang di-Pertuan Agong bagi pada kita menjadi Perdana Menteri ketika berlaku peralihan kuasa pada 24 Februari lalu kalau kita kekal dengan 79 kerusi,” katanya dalam wawancara sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-74 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook mediaumnomalaysia, hari ini.
Namun, menurut Najib, hampir separuh daripada jumlah itu telah tinggalkan UMNO untuk mengejar parti yang mempunyai kuasa memerintah.
“Pada saya, pemimpin yang melompat ini sebenarnya tidak melihat lebih lama atau lebih panjang lagi dalam perjuangan parti. Sebab apabila lompat, dia sudah hilang sokongan dari akar umbi parti.
“Rakyat pun tidak lagi sokong mereka, melainkan dua tiga orang yang beri sokongan. Tapi sokongan dari UMNO sudah tidak ada lagi. Ini yang menghantui minda mereka,” katanya.
Mantan Perdana Menteri ini turut menyentuh mengenai Muafakat Nasional (MN) yang dirintisnya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.
Kata beliau, asas perjuangan UMNO dan BN ketika itu ialah memperkukuhkan MN kerana itulah yang dikehendaki oleh seluruh parti terutama akar umbi.
Malah, katanya, mereka (UMNO-Pas) sudah bergerak atas nama MN dengan melakukan pelbagai program termasuk ceramah, membentuk Piagam MN dan pelancaran.
“Bagaimanapun, apabila berlaku perubahan kerajaan secara mengejut pada 24 Februari lalu, kita terpaksa menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya. – MalaysiaGazette

















Klau orang PKR, PPBM,PAS masuk UMNO depa hero ke apa ke?
Bila sambong trial
UMNO parti yang baik tidak mengambil tindakan kepads ahli yang lompat. Tak macam PKR minta bayar Rm 10 juta sebab keluar parti. UMNO parti hulubalang Hang Tuah.
orang berparti tidak jadikan darah daging macam najib. masuk parti kalau ada keperluan keluar bila tidak ada keperluan.