Najib dan UMNO sudah sebati dan menjadi darah dagingnya dalam perjuangan membela rakyat.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah patah semangat dan terus setia bersama UMNO walaupun berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah, kerana yakin dirinya tidak bersalah.

Kata bekas Presiden UMNO itu, beliau akan tetap mempertahan dan membela dirinya dengan cara terbaik.

“Bila saya merasakan saya tak bersalah, saya akan buat apa saja untuk berjuang, menampilkan diri saya di kalangan rakyat, walaupun Barisan Nasional (BN) kalah, ia tidak bererti kita tidak boleh bangun balik,” katanya pada wawancara sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-74 menerusi Facebook mediaumnomalaysia, hari ini.

Katanya, beliau terlalu sayangkan UMNO dan parti itu telah menjadi darah dagingnya.

“Jiwa saya dan diri saya tidak dapat bayangkan kalau saya mati tanpa ada semangat perjuangan, saya tidak mahu ia padam. Kita mesti berjuang untuk tegakkan parti kita yang banyak jasa kepada rakyat.

“Tanpa UMNO tak ada negara Malaysia, itu realitinya. Oleh itu, janganlan kita melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan UMNO rugi, apatah lagi kalau kita khianati parti keramat ini,” ujarnya.

Menurut Najib, pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) menggunakan pelbagai propaganda sebagai senjata termasuk sanggup melakukan apa sahaja seperti berbohong, menipu dan memfitnah asalkan tujuannya menghasut rakyat berjaya.

Malah, tegasnya, ada seorang pemimpin pembangkang terang-terangan mengatakan kerja pembangkang ialah untuk menghasut dan setiap hari mereka fikirkan pasal memfitnah.

Katanya, ketika menjadi Perdana Menteri, beliau bekerja dan sentiasa memikirkan bagaimana hendak membangunkan negara dan rakyat.

“Itu yang jadi perhatian saya masa saya jadi Perdana Menteri. Tapi malangnya, apabila PH menabur cerita fitnah, rakyat termakan. Hasutan fitnah itu mengatasi kebenaran menyebabkan BN jatuh.

“Namun, beberapa bulan selepas PH mengambil alih kerajaan, rakyat mula sedar bahawa apa yang mereka termakan selama ini adalah fitnah dan pembohongan PH semata-mata.

“Lebih lagi janji PH kepada rakyat tidak ditunaikan, sehingga rakyat merasakan mereka kena kencing dan tertipu. Lalu timbullah sokongan yang meningkat kepada UMNO, BN dan diri saya sendiri,” katanya.

Malah katanya, ramai datang meminta maaf secara terbuka kepadanya termasuk pendakwah bebas, ustaz Ahmad Husam Baderudin dari Kodiang, Kedah.

“Ustaz Husam datang cari saya di Langkawi untuk minta maaf. Sekarang sudah jadi kawan karib saya.

“Saya tidak salahkan mereka kerana termakan hasutan dan kerja menghasut ini dilakukan pemimpin PH bertalu-talu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Mereka ada tanduk di dahi menyebabkan rakyat khususnya belia terpesona melihatnya. Wajah mereka macam malaikat tetapi menghasut. Mereka ada ketua dari kluster kayangan yang ada kemewahan berbillion ringit dan berpengaruh tapi hati hitam pekat.

  2. Penfitnah terbesar ialah atok Medey..mcm2 dia gelar dan maki DSN..perompak, penyamun, perogol, pembunuh, perasuah, penzina…tp rakyat tgk DSN tak pernah sekali pun balas dengan memaki hamun atok..luar biasa DSN!

Comments are closed.