Anak tiri kepada Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.

KUALA LUMPUR – Riza Shahriz Abdul Aziz yang ketika ini sedang berdepan dengan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilepas tanpa bebas oleh Mahkamah Sesyen sebentar tadi.

Riza juga merupakan anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan dengan lima pertuduhan penyewelengan dana 1MDB.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad membuat keputusan sedemikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah perkara itu tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian di pihaknya.

Kata Gopal Sri Ram satu persetujuan telah dicapai antara pihak pendakwaan serta tertuduh dengan beberapa syarat dan terma.

“Antara terma-termanya adalah kerajaan Persekutuan akan terima sejumlah wang yang banyak mencecah beberapa juta ringgit,” katanya.

Jelas Sri Ram, pertuduhan terhadap Riza tidak akan diteruskan buat masa ini sementara menunggu perjanjian mengikut terma tersebut selesai.

Pendakwaan juga bersetuju tertuduh memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk melepaskan tanpa membebaskan tertuduh ketika ini.

Pendakwaraya, Datuk Seri Gopal Sri Ram di Mahkamah Sesyen berhubung pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan penyelewengan dana 1MDB anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz di Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2020

Dalam pada itu, Hakim telah mengarahkan wang sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin dipulangkan.

5 Julai tahun lalu, Riza yang merupakan pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem The Wolf of Wall Street itu didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah US$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

Artikel berkaitan: Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, Amerika Syarikat.

Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan US$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun serupa pada 10 September, 2012 dan 10 Oktober, 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah US$133 juta dan US$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, Singapura pada 18 Jun, 2012 dan 23 Oktober, 2012.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa membabitkan jumlah US$45 juta di tempat sama pada 14 November, 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan, Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Hahahaha…nmpak tak game diorng… Dah ada bukti pon boleh kawtim… masyakarat

Comments are closed.