Foto hiasan - Anggota bomba menjalankan sanitasi ke atas beg pakaian para pelajar sebelum dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing. - foto IQBAL BASRI, 27 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Lima pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dikenalpasti sebagai kluster baharu setelah dikesan positif Koronavirus 2019 (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kluster pelajar berkenaan adalah masing-masing dua dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan tiga lagi di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya, pasukan perubatan mengesyaki pelajar terbabit dikesan positif virus akibat terdedah kepada pekerja yang keluar masuk di kampus terbabit atau di kafe universiti tersebut.

“Semua pelajar di IPT yang diasingkan selama empat minggu sebelum ini hanya menjalani saringan kesihatan yang biasa dan bukan ujian saringan Covid-19 melainkan mereka menunjukkan gejala.

“Mereka diasingkan selama empat minggu dan kalau tidak bercampur dengan orang luar, ia seolah-olah dikuarantinkan.

“Dalam kes ini, kita ada lima kes yang mana dua kes pelajar UPSI pulang ke kampung dan ada gejala sebelum ujian calitan (swab) mendedahkan mereka positif Covid-19,” katanya dalam sidang media situasi semasa Covid-19.

Tambah beliau, pelajar di kampus masih dikawal dan diasingkan serta dilibatkan dalam ujian swab dan besar kemungkinan mereka terdedah kepada pekerja yang keluar masuk ke dalam kampus.

Menurutnya, kes di UMS menyaksikan tiga pelajar positif dan proses pengesanan kontak dalam kalangan pelajar di kampus itu sudah dimulakan dan siasatan sedang dijalankan.

Pada Isnin 11 Mei lalu, Sabah mencatatkan peningkatan mendadak kes baharu positif Covid-19 apabila merekodkan 10 kes baharu dan dua daripada kes itu melibatkan pelajar universiti yang tiba dari Semenanjung.-MalaysiaGazette