KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mendapatkan laporan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung tahap pematuhan solat Jumaat yang bermula hari ini di Wilayah Persekutuan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun ada aduan daripada netizen mengenai ketidahpatuhan kariah di beberapa masjid, pihaknya akan mendapatkan laporan itu secara rasmi dari Menteri Hal Ehwal Agama.
“Solat Jumaat baru dibenarkan hari ini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Walaupun saya ada terima bermacam-macam aduan, kita akan tunggu dan dapatkan laporan secara rasmi dari Dr. Zulkifli Al-Bakri.

“Orang ramai yang hendak membuat aduan ketidakpatuhan itu boleh kemukakan beberapa bukti seperti gambar dan rakaman video untuk kita tengok dan tentukan apa tindakan akan diambil,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan juga telah mengarahkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique untuk mendapatkan pandangan daripada penganut agama lain berhubung ibadat mereka.
Setakat ini, katanya, agama lain juga dihalang daripada mengunjungi rumah ibadat masing-masing, tetapi mereka boleh kemukakan pandangan kepada Menteri Perpaduan Negara.
“Mereka juga dihalang dari melakukan ibadat secara berkumpulan. Kalau masjid tidak dibenarkan, gereja dan kuil juga tidak dibenarkan.
“Tetapi apabila PKPB, mereka mohon diberi kebenaran, maka Menteri Perpaduan Negara diarahkan untuk melihat perkara ini.
“Datuk Halimah akan berbincang dengan ketua agama masing-masing iaitu Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan Taorism. Selepas berbincang, menteri akan bentangkan cadangan itu esok dalam mesyuarat khas menteri atau selewatnya Selasa depan,” katanya. – MalaysiaGazette
















