Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal sekitar kawasan Selayang Baru berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysa (ATM) sentiasa memperkukuhkan kawalan persempadanan maritim, daratan dan ruang udara negara, dengan menjadikannya sebagai keutamaan.

Tugas itu bukan hanya dilakukan secara bermusim seperti ketika perayaan Aidilfitri tetapi sepanjang masa bagi memastikan ketenteraman dan kedaulatan negara sentiasa dipelihara.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata walaupun negara berdepan dengan situasi penularan wabak COVID-19, operasi kawalan persempadanan ini terus diperketatkan pelaksanaannya susulan arahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 April lepas.

Beliau berkata arahan ini dikeluarkan bagi mengelak pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara melalui ‛lorong-lorong tikus’ sekaligus mengelakkan mereka membawa masuk wabak COVID-19.

“Oleh itu, sebagai pendekatan yang lebih efektif, ATM telah diberi mandat untuk menyelaras operasi kawalan ini bersama-sama agensi penguatkuasaan keselamatan lain yang dikoordinasikan di bawah satu agensi penyelarasan iaitu dinamakan sebagai National Task Force (NTF),” katanya kepada Bernama.

Affendi berkata operasi bersepadu itu juga dinamakan sebagai Operasi Benteng yang melibatkan anggota dan aset ATM di samping agensi keselamatan dan penguat kuasa lain.

“Antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Beliau berkata pada masa sama operasi berkenaan turut melibatkan bantuan dan atur gerak agensi lain iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Kastam serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Dengan penglibatan dan kerjasama padu anggota dan aset-aset dari semua agensi keselamatan dan penguat kuasa undang-undang, insya-Allah, kawalan sempadan daratan dan perairan negara mampu diperketatkan,” katanya.

Beliau berkata ia juga meyakinkan pihak berkuasa kesihatan bahawa tiada yang akan membawa masuk COVID-19 ke Malaysia dan memulakan kluster baharu.

Affendi berkata ia tidak menjejaskan atur gerak sedia ada bagi trup dan aset ATM dalam membantu PDRM menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mededahkan beberapa tangkapan pendatang tanpa izin dan tekong telah dibuat selepas pihak berkuasa mengadakan kawalan keselamatan sempadan negara secara bersepadu dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Perkara berkenaan membuktikan bahawa kerajaan mampu mengatasi dan menyekat kemasukan pendatang tanpa izin melalui lorong tikus dan sempadan negara.

Selain itu, kerajaan telah mengenal pasti lorong tikus, antaranya di Pantai Barat Semenanjung, Pantai Timur Sabah seperti Semporna dan Lahad Datu serta di Sarawak.

— BERNAMA