najmil faiz mohamed aris
Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Dakwaan DAP yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih mementingkan kroni daripada menyelesaikan masalah rakyat disifatkan sebagai kenyataan orang yang tinggal dalam gua.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, sepanjang dua setengah bulan PN mengambil alih daripada PN, kerajaan ini telah menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi rakyat.

Antaranya, kata beliau, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tegas dengan pendiriannya meneruskan operasi memburu pendatang asing tanpa izin untuk melindungi keselamatan negara.

“DAP kata kerajaan PN lebih pentingkan kroni daripada menyelesaikan masalah rakyat dan juga sibuk mengagihkan jawatan dalam anak syarikat kerajaan (GLC).

“Mereka ini mungkin sudah masuk gua sebab itu tidak tahu perkembangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam masa yang singkat telah menyelesaikan masalah gelandangan dengan memberi mereka pekerjaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, hendak mengharapkan menteri sebelum ini, Khalid Abdul Samad, lebih menumpukan penjualan tanah Kampung Baru daripada menyelesaikan masalah rakyat, gelandangan dan Pati.

“Untuk memulihkan kembali keupayaan ekonomi Malaysia pasca Covid-19 ini, kerajaan PN menyediakan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan sederhana yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Begitu juga hubungan diplomatik Malaysia giat diperkukuhkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui kerjasama bilateral antara Malaysia dan negara seperti China, Arab Saudi dan sebagainya,” ujar beliau.

Menurut Dr. Najmil Faiz walaupun dihentam oleh Pakatan Harapan (PH), Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba telah membuktikan kredibiliti kepimpinannya dengan meningkatkan kerjasama antara kementerian dan pihak luar.

Malah, tegasnya, banyak lagi usaha yang giat dilakukan kerajaan PN terutama dari kalangan pemimpin UMNO untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

“Hendak harapkan PH selama 22 bulan, memang tidak ada apa yang dilakukan, malah masuk dewan Parlimen pun mereka boleh tertidur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.