Kerajaan PN dibentuk selepas PH tumbang berikutan peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong menerima SD majoriti dari PN.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Negara, kata bekas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, jika Pakatan Harapan (PH) berterusan mendakwa kerajaan PN tidak demokratik, tidak diiktiraf oleh rakyat, itu sangkaan tidak benar.

“Kerajaan hari ini adalah kerajaan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan. Proses pembentukannya mengikut peraturan sebenarnya dan tidak ada sebab hendak pertikaikan apa yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri pun melakukan berasaskan kepada peraturan dan undang-undang negara, maka tidak ada isu sebenarnya apa yang PH sebutkan itu.

“Lagi pun, saya lihat hari ini, rakyat dan netizen memberi maklum balas positif kepada kerajaan PN, yang selama ini mereka harapkan (kerajaan prihatin) yang sepatutnya berlaku,” katanya dalam segmen Wawancara Khas sempena Hari UMNO ke-74 tahun bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Shamsul Anuar Nasarah

Menurut Shamsul Anuar, beliau hairan kenapa Menteri Kewangan sebelum ini, Lim Guan Eng selalu mengatakan wang tidak ada kerana telah dirompak kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh buat itu ini.

Bagaimanapun, ujarnya, selepas PN mengambil alih dari kerajaan 22 bulan pada 25 Februari lalu, kerajaan boleh membantu rakyat dengan menggunakan kewangan negara.

“Sebenarnya kerajaan PH tidak ada keinginan untuk membantu rakyat, tidak ada kesungguhan membantu rakyat. Bila mereka tidak ada keinginan, kesungguhan, maka roh dalam diri mereka untuk membantu rakyat tidak ada.

“Sebab itu tidak ada apa-apa bentuk bantuan hendak diberi kepada rakyat ketika rakyat dalam kesusahan di zaman 22 bulan kerajaan PH,” katanya.

Ini kata beliau, berbeza dengan kerajaan PN hari ini yang dikelilingi oleh pemimpin yang melihat bahawa rakyat mesti dibantu.

Kerana itu, kata Ahli Parlimen Lenggong ini, dalam apa keadaan sekalipun, kerajaan mencari jalan untuk membantu rakyat, walaupun faham ada sedikit sebanyak peraturan tertentu perlu dipatuhi, tetapi dari semasa ke semasa kerajaan cuba menyelesaikannya.

“Yang penting rakyat mesti dibantu, rakyat meletakkan kita (jadi kerajaan) kerana mengharapkan kita membantu mereka. Kalau kita tidak membantu rakyat, kita tidak bertanggungjawab kepada mereka yang menaikkan kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. X kisah lah ikut undang2 ke apa ker.. PH pon ada hak jugak utk usul undi x percaya.. Itu pon termaktub dlm undang2
    #xdertelorke

Comments are closed.