Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malayisa, Dr. Ahmad Sani Datuk Abdul Alim Araby semasa pelancaran Jelajah Peduli Ummah.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mempertingkatkan usahanya dalam meringankan bebanan masyarakat melalui pelancaran Jelajah Peduli
Ummah.

Ia merupakan satu misi bantuan kemanusiaan berskala mega bermula 15 hingga 23 Mei ini di zon utara yang melibatkan negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Dengan kerjasama dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), jelajah itu akan dilaksanakan dengan penglibatan lebih 50 orang anggota, melibatkan penggunaan empat buah lori kontena 40ft, 3 buah bas double-decker, dua buah lori MAN 7 ton APM, kenderaan marshal APM, sebuah van ambulans MAPIM Malaysia dan 36 buah kenderaan sokongan 4×4 sukarelawan lapangan di negeri terlibat.

“Ianya merupakan kesinambungan kepada usaha sedia ada MAPIM bagi krisis Covid-19 dengan penambahbaikan yang melibatkan empat sektor bantuan dan perkhidmatan tambahan khususnya sempena bulan Ramadan kali ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara sektor yang menjadi fokus dalam jelajah itu termasuklah bantuan pek bekalan makanan asas, Ummah Double Decker Mobile Clinic, Program 365 Hari Aku Dengan al-Quran dan Tazkirah Jelajah Ramadan.

Bantuan pek bekalan makanan asas merupakan hasil pengumpulan barangan makanan dan data asnaf yang telah dilakukan, sebanyak 8,000 pek makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, makanan dalam tin dan lain-lain akan mula diagihkan mengikut kategori yang disediakan iaitu pek jenis A, B, atau C bergantung kepada bilangan isi rumah penerima.

Setiap bantuan yang diserahkan mempunyai kod bar tersendiri untuk diimbas dengan hanya menggunakan aplikasi di telefon mudah alih apabila ianya sampai ke tangan penerima dan kesemua rekod disimpan secara atas talian (cloud based system) termasuklah foto penerima bantuan bersama maklumat lokasi dan waktu penyerahan.

Ummah Double-Decker Mobile Clinic pula merupakan program klinik bergerak ini melibatkan sebuah bas dua tingkat dengan prasarana empat buah suites rawatan dan fasiliti perubatan beserta dengan khidmat sukarelawan.

Inisiatif itu dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan kepada orang awam khususnya di desa serta kawasan yang perlu mendapatkan rawatan pesakit non-covid tanpa dikenakan sebarang caj. Ianya juga adalah salah satu usaha bagi memberi khidmat kepada asnaf dan penduduk luar bandar.

Program 365 Hari Aku Dengan al-Quran pula merupakan program tilawah harian yang akan disiarkan secara live di laman sosial MAPIM.

“Usaha ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada orang awam turut sama membaca ayat-ayat suci al-Quran bersama qari terpilih yang akan mengalunkan bacaannya sambil membantu mereka menyemak hukum tajwid yang berkaitan.

“Tazkirah Jelajah Ramadan pula satu slot tazkirah akan dilakukan secara langsung di akaun rasmi Facebook atau Instagram MAPIM dengan pengisian berunsur kerohanian bagi mengimarahkan Ramadan dengan muhasabah diri dan penyucian jiwa,” kata kenyataan yang sama.

Selain itu, MAPIM turut mengadakan slot perkongsian pengalaman menyertai misi bantuan kemanusiaan oleh para artis seperti Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Neelofa, Zizan Razak, dan kumpulan nasyid Hijjaz di samping mengupas mengenai isu-isu semasa serta menghebahkan kempen bantuan bagi menarik perhatian orang ramai untuk turut sama membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Walaupun perkembangan semasa yang diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan keadaan yang semakin baik, MAPIM memandang serius akan situasi yang mencengkam hidup golongan yang kurang berkemampuan lebih-lebih lagi dengan kegawatan ekonomi yang dijangka
tidak akan pulih dalam tempoh terdekat ini.

Justeru MAPIM menyeru orang ramai yang prihatin untuk
terus peka dan mencari peluang untuk berkongsi rezeki dalam meringankan beban hidup masyarakat sekeliling.

MAPIM membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita
yang diuji dengan bencana dan kemiskinan di dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300 dan RM500 untuk bekalan bantuan makanan selama sebulan sempena Ramadan dan Syawal yang akan datang tidak lama lagi.

Sumbangan boleh dibuat melalui Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM 5622 6354 0066 atau menghubungi talian Hotline MAPIM Malaysia menerusi 1300-888-038 atau whatapps 012-800-2016.– MalaysiaGazette