Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (kiri) bersama penghuni semasa aktiviti Sumbangan Keperluan Aidilfitri kepada Anak-Anak Yatim dan Asnaf di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Teratak Ummi, Batu Caves, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Meskipun kini kita masih dalam pergerakan terhad kerana penularan Covid-19 namun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tetap meneruskan tanggungjawab sosial sepanjang bulan Ramadan dengan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Hari ini, PTPTN meneruskan amal jariah badan korporat itu dengan memberi pelbagai sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Teratak Ummi di Batu Caves, Selangor.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif pihaknya membantu golongan yang kurang bernasib baik dengan cara yang agak berbeza berbanding sebelumnya.

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid bercakap semasa aktiviti Sumbangan Keperluan Aidilfitri kepada Anak-Anak Yatim dan Asnaf di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Teratak Ummi, Batu Caves, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MEI 2020.

“Setiap tahun PTPTN sebagai sebuah organisasi yang prihatin kami tidak melupakan anak yatim dan asnaf kebiasaannya kita memberikan pelbagai sumbangan kepada anak-anak yatim, meraikan mereka termasuklah bawa mereka makan, berbuka puasa bersama.

“Di dalam keadaan negara kita dilanda oleh Covid-19 kita terpaksa mengamalkan cara yang baharu.

“Jadi, tahun ini PTPTN melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menjalankan tanggungjawab kami untuk memberikan barangan asas dihantar terus daripada pasar raya, juadah berbuka juga daripada restoran yang ditempah, kuih raya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (kiri) bercakap sesuatu dengan wakil Ummi, Mohd Shafi Helmi Mokhtarruddin (kanan) semasa aktiviti Sumbangan Keperluan Aidilfitri kepada Anak-Anak Yatim dan Asnaf di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Teratak Ummi, Batu Caves, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MEI 2020.

Uniknya PTPTN bukan sahaja memberi barangan keperluan, juadah berbuka dan duit raya tetapi turut memberikan mereka Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM100  kepada setiap warga Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Teratak Ummi.

Jelas Ahmad Dusuki, tujuannya adalah memastikan 60 anak yatim dan asnaf di rumah itu mempunyai ‘simpanan’ untuk kegunaan pendidikan mereka.

“Akaun SSPN-i ini adalah amat penting yang mana ia skim simpanan yang dirangkum PTPTN untuk simpanan anak-anak. Semoga dengan sumbangan SSPN-i dari PTPTN ini dapat meningkatkan semangat untuk anak-anak yatim ini demi masa depan masing-masing,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap badan korporat tidak hanya menumpukan sumbangan berbentuk wang ringgit semata-mata sebaliknya turut menjadikan SSPN-i sebagai kaedah baharu dalam menyalurkan bantuan dan dalam masa yang sama dapat membudayakan amalan menabung.

“PTPTN juga mempunyai tanggungjawab memberi kesedaran kepada orang ramai untuk terus membudayakan penyimpanan, sehubungan itu saya menyeru semua NGO-NGO dan semua badan korporat memberikan sumbangan dalam bentuk SSPN berbanding dengan wang tunai semata-mata,” kata Ahmad Dasuki.

Sebanyak RM6,000 SSPN-i diperuntukkan untuk kesemua 60 anak yatim dan asnaf yang berada di rumah itu yang mempunyai kelebihannya tersendiri sebagai skim simpanan pendidikan seperti perlindungan takaful, dividen dan peluang untuk memenangi cabutan hadiah kepada penabungnya.

Dalam pada itu, pengasas rumah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Teratak Ummi, Fatmah Husin bersyukur kerana anak-anak bawah jagaannya tidak dilupakan.

Pengasas Teratak Ummi, Fatmah Husin, 59, bercakap semasa aktiviti Sumbangan Keperluan Aidilfitri kepada Anak-Anak Yatim dan Asnaf di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Teratak Ummi, Batu Caves, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MEI 2020.

Kata Fatmah, kehadiran PTPTN dengan sumbangan luar jangkaan hari ini cukup menceriakan anak-anak di rumah tersebut dalam menyambut bulan Ramadan.

“Gembira sangat dikunjungi oleh kakitangan PTPTN yang meraikan anak-anak di sini, mereka (anak-anak di rumah ini) gembira dengan apa yang diberikan hari ini, semoga apa yang dilakukan PTPTN hari ini akan mendapat balasan baik di akhirat,” katanya.-MalaysiaGazette