Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor mengenal pasti 24 masjid lagi dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat bagi peringkat kedua bermula 22 Mei ini.

Ini kesinambungan dari kebenaran solat Jumaat peringkat pertama hari ini melibatkan 14 masjid di seluruh negeri.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan Twitternya, Sultan Selangor telah menitah berkenan agar pelaksanaan solat Jumaat dilakukan secara berperingkat bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan secara terkawal untuk mengekang kadar kebolehjangkitan wabak Covid-19.

Sebanyak 14 masjid yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat hari ini ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan sembilan lagi masjid daerah serta lima Masjid Diraja.

“Bagi masjid dan surau yang tidak tersenarai dalam pelaksanaan bagi peringkat pertama mahupun kedua diminta kekal melaksanakan solat Zohor pada hari Jumaat seperti yang telah ditetapkan,” katanya.

Masjid yang akan memulakan peringkat kedua 22 Mei ini ialah Masjid Bandar Diraja Klang, Masjid Ara Damansara, Masjid Seksyen 7 Shah Alam, Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz dan Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz.

Diikuti Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Masjid Nurul Ehsan Petaling Jaya, Masjid Al-Husna Bandar Sunway, Masjid Kolej Islam Malaya, Masjid Alam Impian, Masjid Al-Mustaqim Ampang, Masjid Puncak Alam dan Masjid An-Nur Temasya Glenmarie.

Turut dibenarkan ialah Masjid Cyberjaya 10, Masjid Perodua Serendah, Masjid Al-Ridhuan Ampang Jaya, Masjid At-Taqwa Kajang, Masjid Al-Shariff Batu Caves, Masjjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam, Masjid Bukit Indah Ampang dan Masjid Jamek Samadiah Pelabuhan Klang.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat ketetapan berikutan titah Sultan Selangor setelah menyembah maklum Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-15 pada 8 Mei lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast