Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Menyedari pandemik Covid-19 ini memberi kesan amat besar sekali kepada rakyat dan negara, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli memberi diskaun dua hingga lima peratus bagi bil elektrik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dengan diskaun itu sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban pengguna rumah kediaman dan sektor industri penting yang terkesan besar dengan penularan wabak Covid-19.

“Setakat ini dengan kerjasama warga kementerian dan kerajaan, kita hadapi dengan baik, dan berharap apa yang kita buat ini dapat membantu rakyat. Walaupun tidak sepenuhnya, tapi sekurang-kurangnya kita tunjuk keprihatinan kita kepada rakyat.

“Apa saja ada bawah kementerian ini, berkaitan dengan rakyat yang boleh kita bantu, termasuk tidak mengenakan sewaan kepada premis kerajaan, individu yang terlibat dengan perniagaan dan taman asuhan kanak-kanak (Taska),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam segmen Wawancara Khas sempena Hari UMNO ke-74 tahun Penerangan UMNO Malaysia bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, semalam.

Shamsul Anuar yang merupakan bekas Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, untuk menghadapi pasca Covid-19 ini, kementeriannya dan kerajaan perlu segera pulih dan kembali dalam keadaan biasa seperti sebelum ini.

Ujar beliau, kerajaan mesti bertindak di luar daripada kebiasaan kerana pandemik Covid-19 ini umpama perang dunia kedua yang menyebabkan bencana besar berlaku kepada dunia.

“Maka, untuk kembali pulih, kita tidak lagi boleh berjalan, berlari dan berfikir seperti biasa, kita kena berfikir dan lakukan di luar lebiasaan, iaitu melakukan di luar dari apa yang kita lakukan sebelum ini.

“Kita sedar negara lain yang terkesan seperti Singapura, China, Jepun, negara jiran seperti Indonesia juga akan lakukan tindakan yang sama, kerana mereka juga terkesan.

“Kalau kita tidak lakukan perubahan ini, saya bimbang kita akan tertinggal ke belakang,” katanya.

Sebab itu, kata beliau, di kementeriannya dan juga sebagaimana dibuat oleh kerajaan, semua pihak sedang memikirkan apakah perkara yang membolehkan urusan rakyat dipermudahkan seperti untuk mereka berniaga, mendapatkan kelulusan lesen dan sebagainya.

Namun, beliau yakin kerajaan berkeupayaan melakukannya dan boleh dilakukan dengan mendapat sokongan daripada rakyat serta pemain industri.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, apa makna menjadi sebuah kerajaan jika tidak membantu rakyat.

“Rakyat mengangkat kerajaan untuk membantu mereka, waktu kita (kerajaan) susah, rakyat membantu kita (naik) dan waktu kita ditampuk kuasa, kita harus menolong rakyat.

“Sebab itu, tanggungjawab membantu rakyat ini bukan hanya dibuat oleh kementerian saya, tapi di kementerian lain juga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.