Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan mengenai dakwaan berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard Covid-19 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang didapati terlibat dalam kegiatan penjualan bunga api secara dalam talian, di premis di bazar diingatkan supaya menghentikan aktiviti yang salah di sisi undang-undang itu.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komisioner Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya mendapati penjualan mercun dan bunga api secara dalam talian telah tular dalam media sosial menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada 24 Mei ini.

“Larangan bermain mercun telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Februari 1995 dan Larangan bermain bunga api pada 15 Mac 1995 dan larangan ini masih berkuatkuasa sehingga kini dan tertakluk di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

“Maka PDRM mengingatkan bahawa penjualan bunga api secara online adalah tidak dibenarkan sama sekali dan menjadi satu kesalahan kepada mana-mana pihak yang melanggar syarat serta peraturan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, penjualan bunga api juga perlu mendapat kebenaran dari PDRM dan segala syarat dan peraturan yang dikuatkuasakan mengikut akta berkenaan juga hendaklah dipatuhi.

“Sekiranya kegiatan ini masih berterusan, PDRM akan mengambil tindakan tegas di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penjualan bunga api di premis dan bazar juga adalah tidak dibenarkan sehingga arahan kebenaran dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette