Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui tugasnya sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah sangat berat dan besar untuk dipikul.

Namun, Presiden Pas itu menganggap amanah yang diberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepadanya itu sebagai satu tanggungjawab yang wajib beliau ditunaikan

“Insha-Allah, dengan dibantu rakan-rakan, sekurang-kurangnya pendekatan untuk menyatukan umat Islam di seluruh dunia yang berpecah sehingga menjadi lemah dan diratah oleh musuh dengan mudah, akan diusahakan sebaik mungkin.

“Walaupun Islam berpecah dan berbeza ideologi tetapi keseluruhannya umat Islam masih ada kecintaan pada agama mereka. Titik pertemuan dan kecintaan ini mesti dilaksanakan untuk kita menyatukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai tetamu TV Alhijrah bersama Amie Sofia dan Ardi Herman membicarakan topik bertajuk, “Pasca 72 tahun derita Nakbah Palestin” hari ini.

Pejabat Perdana Menteri pada 2 April lalu mengumumkan pelantikan Abdul Hadi sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri.

Beliau yang merupakan bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia  mempunyai latar belakang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjanan dalam bidang Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu akan manfaatkan hubungannya dengan organisasi Islam peringkat antarabangsa termasuk tokoh Islam untuk menjayakan usahanya itu.

“Kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri ini kepada saya untuk menjalan penyatuan ini bukan sahaja Palestin tetapi termasuk isu lain seperti Rohingya, Kashmir dan Syria.

“Saya akan cuba manfaatkan sedaya upaya dengan kesedaran dan keinsafan kita semua dan doakan usaha ini berjaya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast