Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memasuki gelanggang pertarungan politik pada PRU-14 dengan menggalas amanah sebagai parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Parti yang diasaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu bertanding di 52 kerusi di Semenanjung dengan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM, Dr. Maszlee Malik, parti itu diberi tanggungjawab bertanding di kerusi UMNO iaitu selari dengan asas kewujudan dan penubuhan asalnya sebagai parti pribumi Melayu.

Selain itu, katanya, PPBM juga parti alternatif, saingan dan mengambil tempat UMNO yang telah rosak dalam landskap baru politik negara.

Kata beliau, dari 52 kerusi yang ditandingi, PPBM berjaya memenangi 13 kerusi, iaitu 25 peratus kadar kejayaan parti.

“Dari segi undi, jumlah keseluruhan diraih oleh 52 calon PPBM ialah 718,648 orang, iaitu 28 peratus dari jumlah keluar mengundi di semua kawasan berkenaan iaitu sebanyak 2,573,505 orang.

“Sebagai parti baharu, jenama baharu dan menumpang jenama, bendera dan platform rakan), malah pertama kali memasuki medan pilihanraya tanpa ada track record asas pengundi, penting untuk kita tinjau profil pengundi tipikal PPBM.

“Sampel dari 13 kerusi yang dimenangi PPBM, seramai 760,925 orang pengundi dengan demografi etnik 74.0 peratus Melayu, 21.3 peratus Cina, 5.2 peratus India dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dimuatkan menerusi blog beliau.

Berdasarkan kira-kira itu, Maszlee yang merupakan bekas Menteri Pendidikan memberitahu, mengikut jumlah terkumpul itu, dari masing-masing 100 orang Melayu, Cina dan India, hanya 37 (Melayu), 83 (Cina) dan 58 (India) mengundi PPBM.

Manakala jumlah undi yang diraih oleh 13 calon PPBM pula sebanyak 301,681 undi iaitu 48.2 peratus dari jumlah keluar mengundi).

“Bermakna, setiap 100 pengundi PPBM, 57 daripadanya adalah Melayu, 37 (Cina) dan enam (India). Jika ditinjau, kita boleh mengenali profil pengundi berdasarkan parti yang pernah mereka undi dahulu dan itulah sumber datangnya pengundi PPBM.

“Undi yang sekian banyak diperolehi PPBM datangnya dari tiga sumber penting, iaitu pengundi asal Pakatan Rakyat (PH), selebihnya pengundi UMNO-Barisan Nasional (BN) yang telah mengubah keputusan mereka untuk melihat masa depan negara yang lebih baik.

Pada PRU-13, semua pihak, kecuali beberapa yang mengundi PPBM atau Bebas, yang menolak BN dan UMNO secara logiknya mengundi Pakatan Rakyat (PR), katanya.

Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil (PRK), BN berjaya merampas kembali kedua-dua kerusi tersebut dan menyaksikan PPBM kalah teruk atas pelbagai sebab.

“Sebab paling utama kerana pengundi asal UMNO-BN telah kembali mengundi parti mereka dan PPBM hanya mengharapkan ehsan pengundi PR sedia ada.

“Ringkasnya, PPBM yang awalnya ditubuhkan sebagai parti alternatif kepada UMNO telah gagal bertahan dan tidak mampu menyaingi UMNO-BN di kubu tradisi mereka.

“PPBM wujud dan menang kerana UMNO mengalami krisis defisit kepercayaan orang Melayu. Sekiranya UMNO bangkit balik, dan pengundi UMNO-BN mula berpatah balik kepada parti tradisi mereka, Bersatu akan bermasalah besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalah di Semenyih, kalah Tanjung Pai, tidak pula cerita ke? Macam mana nak ganti UMNO, mesyuarat Agong Parti pun Tun selalu tersasul puji UMNO.

Comments are closed.