Suasana di luar bangunan Parlimen.

KUALA LUMPUR – Bangunan Parlimen dikawal ketat hari ini dengan polis mengadakan sekatan pada jarak 500 meter sebelum pintu masuk.

Hanya ahli-ahli Parlimen, kakitangan dan media rasmi sahaja dibenarkan masuk untuk membuat liputan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pukul 10 pagi ini.

Istiadat akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kesemua yang dibenarkan masuk perlu menjalani saringan terlebih dahulu secara berperingkat sejak 13 Mei lalu.

Media yang tidak dibenarkan masuk kerana peraturan yang ditetapkan berikutan pandemik Covid-19 berkumpul di luar pintu masuk untuk membuat liputan ketiba Agong, ahli-ahli Dewan Rakyat dan juga Dewan Negara yang bersidang serentak.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan seramai 220 daripada 222 Ahli Parlimen yang telah menjalani saringan disahkan bebas Covid-19.

Dua lagi ahli Parlimen tidak menjalani ujian saringan itu kerana sedang menjalani kuarantin disebabkan dikesan sebagai kontak rapat dengan kes positif Covid-19.

Seramai 950 orang terdiri daripada Ahli Parlimen, Senator, warga kerja Parlimen serta petugas media dijadual berada di bangunan Parlimen hari ini. – MalaysiaGazette