Dr. Mahathir mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan PH pada 21 Februari 2020 yang mencetuskan kontroversi kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Berikutan pendedahan rakaman suara mesyuarat pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari lalu, pelbagai pihak membuat rumusan punca Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Menteri disebabkan desakan berterusan dari penyokong PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Walaupun ada segelintir pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR mahu Dr. Mahathir kekal memegang jawatan Perdana Menteri sehingga habis penggal, tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu bersetuju peralihan kuasa dilakukan selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dijadualkan November ini.

Antara pemimpin PPBM dan PKR yang mahu Dr. Mahathir terus kekal ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Marzuki Yahya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Dalam mesyuarat dua jam itu, Muhyiddin tidak banyak bercakap, tetapi jelas beliau tidak bersetuju dengan janji serahan kuasa pada Mei 2020.

Beliau memperlihatkan dirinya seolah menyokong Dr. Mahathir agar terus memimpin negara sehingga habis penggal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Bagaimanapun, Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq begitu beremosi ketika berucap sehingga ditegur oleh Ahli Parlimen Puchong dari DAP, Gobin Singh Deo.

“Apa yang berlaku kepada anda? Mengapa begitu emosional?”, celah Gobind setelah Syed Saddiq meninggikan suara dalam mempertahankan Pengerusinya sepanjang mesyuarat itu.

Zuraida pula berharap mana-mana pihak dalam PH tidak mengungkitkan kisah lalu, yang mana ada segelintir pimpinan tidak berpuas hati terhadap Dr. Mahathir yang diangkat sebagai Perdana Menteri.

Beliau mahu Pengerusi PPBM itu kekal sehingga habis penggal, kecuali ajal menjemput.

Marzuki pula dilihat seperti mengugut rakan PH dengan memberi amaran, jika komponen PH tidak mahu terima keputusan Dr. Mahathir kekal sehingga akhir penggal, PPBM akan membuat keputusan sendiri.

Bagaimanapun, ketika itu Mohamad Sabu mencelah dengan berkata, kami (PH) sudah lama menjadi pembangkang, manakala Anwar pula menyindir Marzuki dengan menyatakan, kalau sudah sampai tahap hendak membuat keputusan sendiri, (tindakan itu) bahaya untuk kestabilan PH.

Mohamad Azmin pula bertanya adakah seseorang itu dianggap pengkhianat jika mencadangkan Dr. Mahathir kekal sepenggal?

Namun, disampuk oleh Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad dengan berkata, pengkhianatan apabila (ada pihak) hendak membawa UMNO dan Pas dalam kerajaan.

Ketika itu Mohamed Azmin diam dan cuba mengalihkan topik, namun cuba ditenangkan oleh Anwar yang menekankan pimpinan dari parti komponen PH agar mengumpulkan akuan sumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen, selain memberi ingatan akan usaha pihak tertentu mahu menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Mesyuarat yang disifatkan sebagai kemuncak kepada pentadbiran 22 bulan kerajaan PH ini berakhir dengan tiga hari selepas itu, Dr. Mahathir mengumumkan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, apa yang berlaku, bukan Anwar menggantikan tempat itu, sebaliknya diambil alih oleh Muhyiddin yang mendapat sokongan sekumpulan Ahli Parlimen dari PKR dan Muafakat Nasional (MN). – MalaysiaGazette