ACP Mohd Zaid Hassan bersama rampasan dadah di Mahkota Cheras.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang tumpas dengan tertangkapnya dua suspek sindiket itu pada Sabtu lepas.

Kedua-dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik  Selangor telah membuat serbuan di sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras, Sęlangor pada 10.25 pagi 16 Mei lalu.

“Hasil serbuan polis telah berjaya menahan dua orang suspek berumur antara 30 tahun hingga 33 tahun yang bersembunyi di dalam rumah tersebut.

“Hasil dari pemeriksaan lanjut pihak polis percaya berlakunya kegiatan pembungkusan dadah dengan terjumpanya 1,804 paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin dan methamphetamine, alat-alat sealler, alat penimbang digital dan paket-paket plastik lutsinar yang masih belum digunakan,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan media malam ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek tersebut telah berjaya ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang untuk perintah reman.

Menurut mohd Zaidi, suspek pertama direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu sehingga 23 Mei ini manakala suspek kedua direman selama lima hari bermula semalam dan kes mereka disiasat di bawah Seksyen. 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati dadah tersebut untuk tujuan pasaran di kawasan Lembah Klang dan rampasan dadah disyaki jenis heroin anggaran berat adalah sebanyak 5,160 gram (5.160kilogram) dan dadah disyaki jenis Methamphetamine sebanyak anggaran berat 175 gram yang keseluruhan nilainya dianggarkan RM285,000 telah berjaya dirampas dalam serbuan ini.

“Pihak polis juga turut berjaya merampas dan menyita sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kes ini untuk tujuan pengedaran dan penghantaran, wang tunai campur-campur berjumlah RM43,850.00 dan seutas rantai leher berwarna kekuningan dipercayai hasil dari aktiviti pengedaran dadah.

“Berdasarkan semakan rekod jenayah lampau, kedua-dua saspek mempunyai rekod lampau berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.

“Pihak polis menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang- undang terutamanya berkaitan dengan jenayah,” tegasnya.-MalaysiaGazette