Tiada kes baharu Covid-19 membabitkan kluster perhimpunan Masjid Seri Petaling.

PUTRAJAYA – Siasatan lanjut pejabat kesihatan peringkat daerah dan negeri serta pejabat CPRC Kebangsaan mendapati lebih banyak kes Covid-19 yang sebelum ini dikelaskan sebagai masih dalam siasatan kini ada hubungkait dengan epidomologi dengan kluster atau subkluster sedia ada.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, susulan pengelasan dan kemaskini data dan kes yang dikenalpasti punca dan hubungkait dengan kes Covid-19 didapati terdapat sebanyak 927 kes berkaitan dengan Perhimpunan Sri Petaling.

“Oleh itu, jumlah kes Covid-19 yang berkaitan kluster perhimpun di Seri Petaling adalah sebanyak 3,347 kes berbanding jumlah sebelum ini iaitu 2,375 kes.

“Ini bermakna kluster dan subkluster Sri Petaling kini menyumbang 48 peratus dari jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di seluruh Malaysia.

“Kluster ini melibatkan lima generasi dan sekarang kita melihat kes kematian di tabligh adalah 33 kes bersamaan 0.99 peratus,” katanya dalam sidang media hari ini.

Malah tambah Noor Hisham, saringan KKM yang dilaksanakan di 370 buah sekolah tahfiz dan madrasah sehingga Selasa 19 Mei 2020 mendapati jumlah kes pelajar, guru dan kakitangan yang telah dikenalpasti ialah 20,186 kes.

Justeru katanya, jumlah sampel yang diambil dan diuji adalah 14,263 bersamaan 70.8 peratus.

“Manakala jumlah positif dari ujian itu adalah 659 kes atau bersamaan 4.6 peratus, manakala yang bergejala ialah 96 kes bersaman 14 .6 peratus dan mereka yang positif dan tidak bergejala adalah sebanyak 563 kes bersamaan 85.4 peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, saringan yang dilaksanakan KKM di 362 buah pasar basah sehingga hari ini mendapati jumlah peniaga, pekerja dan lain-lain yang dikenalpasti ialah 39,045 kes.

Daripada jumlah itu, katanya, jumlah disampel dan telah diuji adalah sebanyak 30,795 individu manakala jumlah positif adalah 261 kes.-MalaysiaGazette