KUALA LUMPUR – Orang ramai disarankan supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengelakkan daripada melakukan pembakaran terbuka berikutan musim Monsun Barat Daya sudah bermula semalam.
Musim yang berpotensi menyebabkan cuaca kering itu dijangka berterusan sehingga pertengahan September ini, demikian kata Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Jelas beliau, mengikut maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan itu menyebabkan cuaca kering, kebakaran hutan dan jerebu di sesetengah tempat.
“Jadi, saya sarankan orang ramai mengurangkan aktiviti luar, mengelakkan daripada melakukan pembakaran terbuka, minum air yang banyak dan memakai topeng muka yang bersesuaian sekiranya keadaan berjerebu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kata beliau, segala maklumat dan ramalan cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web aplikasi mobil myCuaca, media sosial, RakanMET dan Hotline MetMalaysia. – MalaysiaGazette
















