Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (tengah) bergambar selepas pada Mesyuarat Bersama Syarikat Petroleum mengenai pelaksanaan program Biodiesel B20 (Sektor Pengakutan) di Kementerian Industri Utama, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 19 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meluaskan pelaksanaan Program Biodiesel B20 secara berfasa ke Sarawak pada September depan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perkara sama akan turut dilaksanakan di Sabah pada Januari Tahun depan manakala di Semenanjung pula akan dibuat pada pertengahan Jun tahun depan.

Beliau berkata, pelaksanaan Program Biodisesel B20 merupakan inisiatif kerajaan di bawah KPPK bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik.

“Adalah dianggarkan sebanyak 534,000 tan setahun penggunaan minyak sawit dapat ditingkatkan.

“Dengan mengambil kira pelaksanaan Program Biodiesel B20 sektor pengangkutan dan Program Biodiesel B7 untuk sektor industri sedia ada, dijangkakan kira-kira 1.3 juta tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.8 juta tan CO2 setara setahun.

“Ini juga menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pengurangan pelepasan GHG dan penjagaan alam sekitar,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjur Mohd Khairuddin berkata,
berikutan penularan wabak Covid-19 hingga menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) langkah itu telah memberi pelbagai kekangan dan cabaran, khususnya dalam melaksanakan projek naik taraf 35 depoh adunan yang diperlukan bagi pembekalan adunan diesel B20.

Disebabkan itu kata beliau, KPPK telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat petroleum untuk membincangkan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan terutama berkaitan cadangan tarikh baharu pelaksanaan bagi Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

“Adalah diharapkan dengan tarikh baru yang dipersetujui oleh semua pihak bagi meluaskan penggunaan B20 dengan mengambil isu semasa yang dihadapi dapat melonjakkan industri sawit negara ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang,” tambahnya. – MalaysiaGazette