Datuk Shahrul Zaman Yahya

KUALA LUMPUR – Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mempunyai misi melakar sejarah baharu apabila menyasarkan untuk membawa pulang kilauan pingat pada temasya Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

Malaysia belum pernah meraih sebarang pingat di pentas Sukan Asia, namun ia tidak lagi mustahil selepas KRM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini telah mencapai persetujuan melaksanakan program latihan jangka panjang khusus buat pasukan ragbi tujuh sepasukan (7’s) lelaki dan wanita negara.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata perkembangan terbaharu itu bertujuan mewujudkan satu mekanisme latihan bersepadu untuk membantu memastikan kejayaan kedua-dua skuad 7’s negara meraih kilauan pingat yang dinanti-nantikan.

“Kita nak menang pingat Sukan Asia 2026. Kita perlu ada satu program yang sangat teliti, sangat bersepadu dan sangat menyeluruh untuk cuba memenangi pingat di Jepun yang kita tahu bukan mudah. Tetapi kita ingin mencuba, sampai bila kita hanya mahu bercakap pasal Sukan SEA.

“Program ataupun projek khas ini sepatutnya bermula antara Mac hingga Mei, namun disebabkan pandemik COVID-19 ia terpaksa ditangguhkan sehingga ke satu tarikh baharu,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Shahrul Zaman berkata pelaksanaan program berkenaan akan menyaksikan tumpuan diberikan lebih kepada barisan pemain ragbi berpotensi berusia dalam lingkungan 22 tahun untuk diserapkan ke dalam program.

Namun, beliau menegaskan KRM tetap akan mengekalkan pemain senior sedia ada untuk mewakili negara ke kejohanan antarabangsa sementara pemain daripada program bersama MSN itu akan diserap ke dalam skuad kebangsaan secara berperingkat.

“Kita fikirkan pemain lingkungan 22 tahun sebab lagi enam tahun mereka berusia 28. Program ini tidak bermaksud mereka sahaja akan mewakili negara selepas ini, tidak. Kita masih menaruh kepercayaan terhadap barisan pemain sedia ada tetapi kita harus mempunyai perancangan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Prestasi Tinggi KRM Dr Ahmad Naim Ismail berkata KRM telah mengenal pasti senarai 20 pemain lelaki dan 20 pemain wanita untuk diserap ke dalam program itu.

Menurut beliau, pemain yang diserap akan menerima elaun tetap bulanan selain diberikan kemudahan antaranya tempat tinggal, kemudahan latihan di dalam dan luar negara serta perkhidmatan sokongan dan rawatan daripada pakar Institut Sukan Negara (ISN).

“Pemilihan pemain kita ambil daripada pemain Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) yang telah mewakili Malaysia dalam pertandingan Bawah 19 Tahun (B-19) dan Bawah 20 Tahun (B-20). Tetapi tidak semestinya pemain ini akan kekal, yang tidak mencapai prestasi ditetapkan akan diganti,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Naim memaklumkan ketua jurulatih ragbi 7’s lelaki negara Mohd Saizul Hafifi Mohd Noor dan ketua jurulatih ragbi 7’s wanita negara Nik Safuan Ismade Nik Man akan menjadi jurulatih buat kedua-dua pasukan projek itu.- BERNAMA