Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mempunyai masalah untuk membuat pemeriksaan dan gerakan mengesan perantau yang pulang ke kampung merentas negeri tanpa mendapat izin pihak berkuasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemeriksaan dan semakan akan dibuat di rumah yang mempunyai jumlah kenderaan agak tidak munasabah.

Katanya, ada pihak seolah mencabar pihak berkuasa dengan menyatakan mustahil polis dan tentera hendak menangkap mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang berjaya merentas negeri.

“Mereka kata, takkan polis nak datang tangkap di rumah. Betullah tu, tapi pada hari raya pertama dan seterusnya polis akan ronda di setiap kawasan, jika kenderaan banyak di rumah, polis akan periksa dan semak.

“Bagi kita, kalau di rumah itu ada banyak, kita anggap sudah tentu di dalam rumah itu ramai orang, dan polis akan siasat. Pihak berkuasa telah bersetuju bergerak pada hari raya pertama serta seterusnya bagi pastikan SOP dipatuhi,” katanya pada sidang media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ujar beliau, polis dan ATM telah mengenakan 149 Sekatan Jalan Raya Rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 250,891 kenderaan.

Semalam juga katanya beliau, sebanyak 1,633 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh polis.

“Ingin saya ingatkan sekali lagi, pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan kecuali atas hal kecemasan atau kerja, dan kebenaran rentas negeri perlu dikeluarkan oleh polis.

“Ini termasuk penerbangan dalam negeri dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak. Orang ramai diminta untuk memohon kebenaran polis terlebih dahulu sebelum membeli tiket penerbangan.

“Bagi penerbangan ke Sabah dan Sarawak, mereka akan disaring sejurus tiba di lapangan terbang. Jika didapati negatif, mereka perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing, dan bagi yang didapati positif akan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, bagi yang ke Sarawak, mereka akan disaring sekali lagi pada hari ke-10 kuarantin wajib.

Beliau menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang tidak mematuhi perintah kuarantin wajib. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast