Antara staf UTeM sewaktu di pintu masuk utama UTeM memaparkan skrin telefon bimbit masing-masing warna hijau yang telah diproses melalui Sistem eTAP UTeM sekaligus memberi kebenaran masuk kerja di kampus.

KUALA LUMPUR – Seiring keperluan kawalan semasa dan berteraskan teknologi Internet of Things (IoT), Universiti Teknikal
Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya membangun dan melaksanakan UTeM Entry IoT Access Point System (e-TAP).

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, pembangunan dan pelaksanaan Sistem eTAP UTeM itu merupakan inisiatif UTeM bagi memudahkan pemantauan serta kawalan masuk kakitangan ke kampus di waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jelas beliau, antara objektif lain sistem ini adalah bagi memastikan hanya staf yang disahkan sihat dan diluluskan oleh Ketua Pusat Tanggungjawab sahaja dibenarkan hadir ke UTeM.

Menerusi pelaksanaan sistem yang sama juga berjaya melancarkan proses kenderaan staf sewaktu masuk menerusi pintu masuk UTeM bilamana staf hanya perlu memaparkan hasil output sistem ini di skrin telefon bimbit masing-masing kepada petugas Polis Bantuan UTeM.

Mengulas mengenai pembangunan sistem ini, Ketua Pegawai Maklumat (CIO) UTeM, Mohd Isa Mohd Dom berkata, ia dibangunkan oleh Pusat Perkhidmatan Pengetahuan Dan Komunikasi (PPPK) UTeM dalam tempoh tiga hari sahaja.

Daripada segi proses dan pelaksanaan aplikasinya, terlebih dahulu staf perlu membuat saringan kesihatan melalui Health Declaration Form (HDF) dan keputusannya ditentukan oleh Pusat Kesihatan UTeM.

Pada masa yang sama staf turut perlu mendapatkan kelulusan Ketua Pusat Tanggungjawab masing-masing bagi permohonan staf untuk hadir ke pejabat menerusi Sistem Maklumat Sumber Manusia (SMSM).

“Seterusnya kedua-dua maklumat di atas akan diproses dalam sistem ini lalu memberikan output samada staf dibenarkan memasuki kampus UTeM atau sebaliknya.

“Menerusi sistem ini kelayakan kehadiran staf ditunjukkan melalui tiga warna sahaja samada iaitu hjau, merah dan kuning yang mana hanya staf yang mempunyai paparan hijau sahaja dibenarkan memasuki kampus UTeM”, ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, staf boleh membuat semakan secara harian di rumah sebelum hadir ke pejabat di samping staf hanya perlu memaparkan skrin telefon kepada pihak keselamatan yang bertugas di Pos Keselamatan UTeM sebelum dibenarkan masuk ke kampus.- MalaysiaGazette