Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes berprofil tinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk hari ke-37 dengan sesi soal balas pasukan pembelaan.

Ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Shafee Abdullah terus menyambung soal balas saksi kesembilan, bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi telah memberi keterangan sejak 23 September tahun lalu.

Ketika sesi soal balas, Shafee kelihatan sedikit hilang sabar kerana kebanyakan pertanyaan yang dikemukakan kepada Shahrol Azral seolah-olah tidak dijawab.

Shafee: Saya tidak faham, anda yang diberikan jawatan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dengan gaji yang begitu lumayan tetapi jawapan anda seperti tidak pasti pula. Mengapa begitu?

Shahrol: Bagaimana saya hendak jawab sesuatu ikut andaian sahaja? Saya telah ambil ikrar sumpah di mahkamah apa yang saya beritahu adalah benar belaka, jadi bagaimana pula saya hendak buat andaian?

Shahrol Azral juga mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam kerana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) cuba meletakan beban ke atas dirinya berikutan krisis kewangan 1MDB.

Pada 2016, PAC mendedahkan Shahrol Azral sepatutnya dipertanggungjawabkan terhadap kelemahan serta ketirisan yang dihadapi 1MDB.

Malah PAC juga pernah mencadangkan dalam laporannya bahawa Shahrol Azral yang merupakan CEO 1MDB antara 2009 hingga 2013 sebenarnya perlu disiasat.

Shahrol: PAC jadikan saya sebagai kambing hitam. Itulah sebenarnya. Mereka beri gambaran seumpama itu kerana mahu jadikan saya mangsa.

Shafee: PAC kata kamu bertanggungjawab tapi pada tafsiran kamu pula, kamu hanya dijadikan kambing hitam? Begitu?

Shahrol: Ya, benar.

Shafee: Boleh saya katakan juga kepada kamu dokumen-dokumen berkaitan PetroSaudi tidak diberikan dengan lebih awal ketika 1MDB didengar pada 2015 kerana mungkin kamu akan terdedah sekali?

Bersama dengan lain seperti Low Taek Jho atau Jho Low, Jasmine Loo, Casey Tang, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid sebagai conspirator (orang yang berkomplot) dalam skim melibatkan berbilion dolar daripada 1MDB?

Shahrol: Tidak benar sama sekali.

Ketika disoal tentang mengapakah Shahrol tidak menyemak latar belakang Ong Gim Huat yang merupakan bekas pengarah 1MDB juga ketika itu dikaitkan dengan Jho Low, saksi hanya ‘menyalahkan’ Najib.

Gim Huat merupakan rakan kongsi perniagaan kepada Larry Low Hock Peng, iaitu bapa Jho Low.

“Bagaimana saya hendak periksa kerana Datuk Seri Najib yang hendak Gim Huat untuk menjadi Pengarah 1MDB, jadi saya tidak lakukan siasatan latarbelakang,” dakwanya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini berhadapan dengan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan lebih awal kerana pasukan pendakwaan dan pembelaan hendak mengadakan pertemuan dengan Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed.

Ini berikutan permintaan kedua-dua belah pihak untuk diberikan sedikit kelonggaran daripada garis panduan sedia ada yang hanya membenarkan tiga orang sahaja menghadiri perbicaraan tersebut.

Prosiding akan bersambung esok jam 9.30 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah. – MalaysiaGazette