Penggambaran filem dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun ini dengan penetapan pematuhan SOP. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Adegan rapat-rapat tidak dibenarkan sama sekali walaupun kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran perfileman sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua yang terlibat iaitu krew produksi dan pelakon masih terikat dengan prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ismail Sabri Yaakob

“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bersetuju untuk membenarkan aktiviti penggambaran sepanjang tempoh PKPB.

“Bagaimanapun, tarikh permulaan pengambaran ini selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan mereka perlu mematuhi SOP KKM dan MKN.

“Saya difahamkan walaupun dibenarkan selepas raya, kemungkinan akhir Jun ini mereka baharu boleh memulakan penggambaran,” katanya pada sidang media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Jelas beliau, sesi mesyuarat dan uji bakat pelakon perlu dilakukan secara dalam talian dan setiap yang terlibat perlu mengemukakan rekod perjalanan, manakala jumlah dalam satu-satu kelompok tidak lebih 20 orang.

Kata beliau, kerajaan membuat keputusan membenarkan aktiviti penggambaran itu selepas pihak produksi perfileman bersetuju dengan syarat dan SOP berkenaan.

Ismail Sabri juga berkata, syarikat produksi perlu melantik seorang penyelia untuk memantau dan memastikan setiap mereka mematuhi SOP.

“Ada lagi syarat yang kita kenakan. Antaranya, perkhidmatan makanan secara bufet sama sekali tidak dibenarkan, mereka hanya boleh menyediakan secara bungkus.

“Jurusolek dan penata rias pula perlu memakai topeng muka plastik, mencuci tangan dengan sanitizer sebelum menyolek artis.

Scene rapat-rapat tak boleh, kecuali mereka ada teknik tertentu yang nampak seperti duduk dekat-dekat dan penjarakan sosial ialah 1 meter,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, kerajaan masih mengekalkan larangan teater dan wayang gambar yang melibatkan tontonan ramai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast