Carlos Ghosn, foto Agensi

BOSTON – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menahan bekas anggota tentera pasukan khas dan seorang individu yang dikehendaki kerajaan Jepun atas dakwaan membantu bekas bos Nissan Motor Co., Carlos Ghosn melarikan diri dari negera itu.

Pendakwaraya Persekutuan di Massachusetts berkata, bekas anggota pasukan khas Green Beret, Michael Taylor dan anak lelakinya, Peter Taylor, membantu Ghosn melarikan diri ke Lubnan pada tahun lalu bagi mengelak daripada dibicarakan atas dakwaan menyalahguna kewangan.

Pada Januari lalu, Jepun mengeluarkan waran tangkap untuk kedua-dua lelaki tersebut di samping individu ketiga, George-Antoine Zayek, yang dikaitkan membantu Ghosn melarikan diri pada 29 Disember 2019.

Taylor dijadualkan muncul pada persidangan video di hadapan Hakim Persekutuan hari ini, lapor Reuters.

Para peguam untuk lelaki tersebut tidak dikenalpasti.

Ghosn melarikan diri ke Lubnan, di mana beliau dibesarkan, ketika beliau menanti perbicaraan atas dakwaan melaporkan pendapatan yang rendah, pecah amanah dan penyalahgunaan dana syarikat, yang mana beliau menafikan semua dakwaan itu.

Kertas perundangan AS mengenai cara Ghosn melarikan diri meliputi beliau meninggalkan Jepun dalam sebuah kotak berwarna hitam yang disembunyikan dalam sebuah pesawat peribadi.

Kedutaan Jepun di Washington dan Nissan tidak membuat ulasan mengenai penangkapan itu.

Terdahulu pada bulan ini, seorang peguam berkata, pendakwaraya Turki telah menyediakan pertuduhan terhadap tujuh individu, termasuk empat juruterbang dan dua kru penerbangan bagi membantu Ghosn melarikan diri ke Lubnan melalui Istanbul selepas beliau meninggalkan Jepun.

Selepas Jepun mengemukakan permohonan untuk melakukan penahanan sementara ke atas lelaki tersebut, Jabatan Kehakiman mengeluarkan waran tangkap pada 6 Mei lalu.

Pihak penguatkuasa undang-undang AS difahamkan Peter Taylor telah menempah penerbangan dari Boston ke Beirut yang singgah di London berlepas pada hari ini dan beliau menggunakan nama Michael Taylor ketika ditahan marshal AS. – Agensi