SINGAPURA – Singapura buat pertama kali melafazkan hukuman mati bagi kes jenayah menerusi perbicaraan terpencil pada 15 Mei, 2020 ketika republik itu berhadapan pandemik COVID-19.

Kes itu membabitkan seorang lelaki Malaysia, Punithan Genasan, 37, yang menjadi perancang utama di sebalik pengedaran dadah jenis diamorphine seberat 28.50g – pada Oktober 2011 ke republik ini.

“Seiring dengan langkah bagi meminimumkan merebaknya COVID-19, mahkamah telah menjalankan perbicaraan termasuk perbicaraan berhubung jenayah secara terpencil,” kata jurucakap Mahkamah Agung dalam satu kenyataan di sini.

“Ia bagi keselamatan semua yang terlibat dalam prosiding, perbicaraan bagi Pendakwa Raya, V Punithan a/l Genasan dijalankan secara persidangan video. Ia kes jenayah pertama dengan hukuman mati dilafazkan oleh perbicaraan terpencil di Singapura,” kata jurucakap itu.

Singapura melakukan langkah pemutus litar yang lebih ketat untuk mengurangkan merebaknya Coronavirus pada 7 April dan dijadual berakhir pada 1 Jun.

Sebuah akhbar harian tempatan melaporkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Chan Seng Onn, melafazkan hukuman mati mandatori itu dalam perbicaraan menerusi persidangan video dari platform Zoom. – Bernama