Abdul Razak Md Hassan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (KPPKTMB) yakin 6,000 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan gembira selepas Kementerian Pengangkutan mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500.

Sambil menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Datuk Seri Wee Ka Siong dan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, Presiden KPPKTMB, Abdul Razak Md Hassan berkata, pengumuman bantuan itu sudah pasti melegakan warga syarikat pengangkutan tersebut.

“Kami gembira dengan berita ini.

“Bantuan itu membuktikan kerajaan memberi perhatian kepada masalah kami dan kami rasa begitu dihargai,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman bantuan khas sekali bayar sebanyak RM500 kepada kakitangan KTMB.

Artikel berkaitan: 6,000 kakitangan KTMB dapat bantuan khas RM500

Ka Siong dalam kenyataannya berkata, pembayaran ini akan dimasukkan secara terus ke dalam akaun bank kakitangan KTMB mulai 21 Mei 2020 bersama dengan bayaran gaji untuk bulan Mei 2020.

Abdul Razak berkata, kakitangan KTMB bukan sahaja akan menerima bantuan tersebut tetapi juga sekali dengan gaji dan elaun untuk bulan Mei.

Bayaran itu dijangka dibuat esok, 20 Mei.

Sebelum ini, KPPKTMB mendakwa KTMB mengalami masalah kewangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga menyebabkan bayaran gaji dibayar secara dua kali sejak dua bulan lalu.

Artikel berkaitan: Kewangan KTMB nazak, sambutan Aidilfitri 6,000 kakitangan suram

Jika kebiasaannya gaji dibayar dalam 29 hari bulan namun sejak dua bulan lalu gaji pokok diterima pada setiap 1 hari bulan baru manakala bayaran elaun dan lain-lain pada pertengahan bulan.

Pelaksanaan PKP oleh kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 telah menyebabkan jumlah penumpang KTMB menjunam antara 75 hingga 80 peratus, sekali gus menjejaskan prestasi kewangan KTMB. – MalaysiaGazette