KUALA LUMPUR – Polis sedang giat  memburu dan menjejaki dua suspek lelaki yang melarikan diri dengan meninggalkan kereta yang dinaikinya dengan sepaket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu yang  beratnya tidak dipastikan lagi.

Buruan itu dijalankan selepas berlaku aksi kejar mengejar melibatkan seorang polis trafik dengan dua suspek di Jalan Genting Klang susur Jalan Air Panas sekitar jam 4.30 petang pada Isnin lalu.

Dua suspek yang menaiki kereta Nissan Teana hitam 200 XE  telah bertindak melanggar lampu isyarat di tempat kejadian.

Anggota polis trafik Koperal Saifulazuwan Mohamad dari Balai Polis Jalan H.S.Lee yang sedang bertugas di lokasi dan mengawal trafik cuba menahan kenderaan yang dinaiki dua suspek tersebut sebelum kenderaan suspek memecut laju ke Jalan Gombak.

Ketua Siasatan Jenayah dan Pengurusan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly yahya berkata, Koperal Saifulazuwan mengekori kereta suspek dengan menaiki motosikal.

Ketika mengekori kereta tersebut, suspek didakwa cuba menghimpit pengadu dan telah melanggar beberapa buah kenderaan semasa melalui Jalan Gombak menuju ke Kampung Padang Balang.

“Ketika keadaan lalu lintas agak sesak, pengadu telah memberhentikan motosikal di tepi jalan dan cuba mengejar dan menahan motokar suspek namun suspek tidak berhenti dan cuba melanggar anggota trafik itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ekoran itu, anggota polis trafik berkenaan terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar bahagian kanan depan kereta berkenaan dengan niat ingin mempertahankan diri kerana terasa diri diancam suspek.

“Namun suspek tidak berhentikan keretanya dan terus memecut laju sehingga memasuki lebuh raya DUKE, sebelum terbabas dan telah tersangkut di penghadang tengah lebuh raya itu.

“Manakala dua suspek yang difahamkan berada di dalam kenderaan itu telah melarikan diri,” katanya.

Pemeriksaan di dalam kereta yang ditinggalkan suspek telah menemui sepaket plastik lutsinar di percayai dadah jenis syabu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut mendapati kenderaan yang digunakan suspek adalah didaftarkan atas nama seorang wanita di Senai Johor.

Kereta berkenaan disyaki dicuri. – MalaysiaGazette