Kawalan diperluaskan kepada 19 barang baharu dan dengan senarai 16 barangan harga terkawal yang telah ditetapkan dan berkuatkuasa mulai 20 Mei.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP HRP) bermula 20 Mei lalu sehingga 3 Jun ini.

Pada masa yang sama kementerian juga akan menguatkuasakan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bermula 28 Mei
2020 hingga 3 Jun 2020.

Kawalan diperluaskan kepada 19 barang baharu dan dengan senarai 16 barangan harga terkawal yang telah ditetapkan dan berkuatkuasa mulai 20 Mei dan jumlah keseluruhan barangan harga terkawal yang ditentukan harga maksimum adalah sebanyak 35 barang.

Pertambahan barang-barang ini adalah atas permintaan daripada pengguna dan item tersebut merupakan barangan pilihan utama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menurut satu kenyataan hari ini.

SENARAI BARANGAN TAMBAHAN HARGA TERKAWAL SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN HARI RAYA PUASA, PESTA KAAMATAN DAN HARI GAWAI 2020
1. Tomato
2. Kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Kubis Beijing)
3. Cili merah
4. Lada benggala hijau
5. Kacang panjang
6. Sawi Hijau
7. Bendi
8. Bawang besar (China)
9. Bawang besar (Holland)
10. Ubi kentang import (China)
11. Cili kering
12. Kacang tanah
13. Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap
kilogram)
14. Ikan selayang (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
15. Ikan aya/tongkol (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
16. Ikan segar beku kembung (berat antara 8 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
17. Ikan segar beku selayang (berat antara 8 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
18. Ikan segar beku selar (berat antara 8 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram)
19. Ikan demudok/Sagai/Cermin/Cupak (berat antara 3 ekor hingga 5 ekor setiap
kilogram)

SENARAI BARANGAN HARGA TERKAWAL SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN HARI RAYA PUASA, PESTA KAAMATAN DAN HARI GAWAI 2020

1. Ayam hidup
2. Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki,
kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)
3. Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)
4. Ayam tua hidup
5. Kepak ayam
6. Daging lembu tempatan (*Harga maksimum di Semenanjung dan Sabah sahaja)
7. Daging lembu import (*Harga maksimum di Sarawak sahaja)
8. Daging kerbau import (*Harga maksimum di Semenanjung, Sabah
dan WP Labuan sahaja)
9. Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)
10. Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)
11. Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)
12. Kelapa biji (*Harga maksimum di peringkat borong sahaja)
13. Kelapa parut (*Harga maksimum di peringkat runcit sahaja)
14. Babi hidup (*Harga maksimum di peringkat ladang sahaja)
15. Daging babi (perut)
16. Daging babi (daging dan lemak)

“Tiga musim perayaan tersebut turut temasuk di dalam tempoh
PKPB. Diharapkan harga barang tersebut adalah terkawal dengan penetapan harga siling di peringkat borong dan runcit terutamanya di pasar basah dan penjaja kecil yang menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan,” kata kenyataan yang sama.

Penentuan harga barangan yang terpilih dibuat mengikut kesesuaian harga semasa dengan turut mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga dari negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos operasi.

Tarikh kuat kuasa pertambahan 19 barangan ini adalah
pada 22 Mei hingga 3 Jun ini iaitu selama 13 hari.

Kementerian akan terus meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas bekalan dan harga barangan di seluruh negara.

Peniaga hendaklah mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan
manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka.

Dalam masa yang sama, kementerian menyarankan kepada pengguna supaya tidak membuat pembelian berlebihan yang boleh memberi tekanan kepada harga barangan.

Disamping itu, diingatkan agar pengeluar, pemborong dan peruncit tidak menaikkan harga secara mendadak selepas berakhirnya pelaksanaan skim ini.

Skim itu akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab
dan memainkan peranan masing-masing.

Jika didapati ada mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian ini melalui:
a) Portal e-aduan (http://eaduan.kpdnhep.gov.my)
b) Call Centre 1 800 886 800
c) E-mel ([email protected])
d) Ez Adu KPDNHEP (Aplikasi telefon pintar)
e) Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03 8882 6088/6245
f) Whatsapp 019 2794317
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya.– MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

TERKINI : KPDNHEP Pantau 11 Harga Barang Sempena Perayaan