Gambar hiasan foto AFIQ RAZALI, 14 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM40 juta diperuntukkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) untuk menyelenggara kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam (PA), Perumahan Kos Rendah dan Sederhana Rendah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, peruntukan itu disalurkan di bawah Projek Rangsangan Ekonomi (PRE 2020) Tabung Penyelenggaraan Wilayah Persekutuan (TPWP) kepada agensi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Labuan (PL).

Selain memenuhi permintaan penduduk setempat, katanya, inisiatif itu boleh membantu memulihkan kedudukan kewangan kontraktor kelas G1 dan kontraktor kelas G4 yang turut terjejas akibat wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru- baru ini.

“Penumpuan projek ini adalah lebih kepada memperbaiki struktur serta kemudahan fizikal di perumahan PPR, PA, Flat Kos Rendah serta Sederhana Rendah berdasarkan permohonan yang dibuat oleh penduduk melalui Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Annuar berkata, daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM38.5 juta telah disalurkan kepada DBKL melibatkan 54 kawasan di WP Kuala Lumpur dengan 81 kontraktor G1 yang dilantik melalui proses undian dan 34 kontraktor kelas G4 yang dilantik melalui proses tender.

Manakala, RM1.5juta disalurkan kepada PL melibatkan 3 kawasan di WP Labuan dengan pelantikan 12 kontraktor yang terdiri daripada 10 kontraktor G1 melalui proses undian dan 2 kontraktor G2 melalui proses perolehan secara sebutharga.

Katanya, pelaksanaan projek TPWP akan bermula pada pertengahan Mei lalu dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Oktober ini.

Ujarnya, pelaksanaan projek itu sekaligus akan merangsang semula ekonomi negara yang terkesan ekoran pendemik wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Annuar memaklumkan, Parlimen Wangsa Maju adalah penerima jumlah projek terbanyak iaitu 20 projek daripada semua kategori yang melibatkan Kondominium Setapak Ria, Rumah Pangsa Kawasan 2A, 2B, 4A, 4B, 5A, 5B, 5C, 8, 9, Winner Court A dan Taman Melawati 2B.

Jelasnya, Projek-projek di Parlimen berkenaan melibatkan kerja-kerja mengecat dan mengganti bumbung, membaiki atau mengganti tangki air serta sistem retikulasi, membaiki atau mengganti tangga serta susur tangga, kerosakan am dan pembinaan pagar.

Di Parlimen Seputeh pula kata beliau, sebanyak enam projek bakal dilaksanakan yang membabitkan kerja- kerja mengecat dan membaiki atau mengganti tangga dan susur tangga.

“Lokasi-lokasi yang terlibat adalah Kuchai Entrepreneurs Park Fasa 1B, Kuchai Entrepreneurs Park Fasa 1A, Kuchai Entrepreneurs Park Fasa 2, Pangsapuri Sri Bandar Besi, KEP LMC Apartment dan KEP LC Flat yang merangkumi kerja-kerja mengecat, membaiki atau mengganti tangga serta susur tangga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Annuar memberitahu, di Parlimen Titiwangsa terdapat dua projek iaitu projek mengecat bagi Apartment Delima J dan projek membaiki serta mengganti bumbung Apartment Seri Murni Fasa 2.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa

Manakala, di Parlimen Setiawangsa terdapat tiga projek iaitu projek mengecat, membaiki dan mengganti bumbung yang melibatkan Menara Rajawali, Pangsa Murni, Menara Cenderawasih AU3 dan Menara Merak Kayangan.

Katanya lagi, terdapat dua projek di Parlimen Batu iaitu mengecat, membaiki dan mengganti bumbung di Apartment Seri Murni Fasa 2.

Manakala, di Parlimen Segambut, terdapat enam projek iaitu mengecat, membaiki atau menganti tangki air dan sistem retikulasi serta kerosakkan am bagi Taman Kepong Indah Fasa 1, Taman Kepong Indah Fasa 3A, Taman Kepong Indah Fasa A, EPRP Kos Sederhana, Taman Jinjang Baru, Apartment Bukit Sri Bintang dan Pangsapuri Kos Rendah AC4.

Sementara itu, Annuar berkata, terdapat tujuh projek di Parlimen Lembah Pantai bagi kerja-kerja mengecat, membaiki atau menganti bumbung, membaiki atau menganti tangki air dan sistem retikulasi serta membaiki tangga dan susur tangga. Lokasi projek merangkumi Pangsapuri Kos Rendah AC4, Pangsapuri Suci, Taman Bukit Angkasa blok 9-16-18, blok 9-16-19 dan blok 9-16-20.

Parlimen Cheras mempunyai tiga projek iaitu membaiki atau menganti bumbung, membaiki atau menganti tangki air dan sistem retikulasi serta kerosakan am merangkumi Taman Seri Bahtera blok A,B,C dan D.

Bagi Parlimen Bandar Tun Razak pula tambah Annuar, terdapat tiga projek kerja-kerja membaiki atau menganti bumbung dan membaiki atau menganti tangki air serta sistem retikulasi di Pangsapuri Kasturi dan Pangsapuri Blok 1 dan 3 Taman Bukit Cheras.

Bagi WP Labuan pula, terdapat tiga projek pembaikan kerosakan am yang melibatkan Taman Mutiara Blok L dan M serta Perumahan Awam Taman Sungai Bedaun.

“Saya berharap projek TPWP ini sedikit sebanyak dapat membantu kontraktor kelas G1 dan G4 di Wilayah Persekutuan untuk back to track serta beroperasi seperti sebelum ini. Seturusnya dapat membantu mewujudkan persekitaraan yang selesa, kondusif dan berdaya huni bagi penduduk di Wilayah Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nak tanya projek pembangunan perumahan di kwsn Lembah Pantai khasnya Bangsar di Perumahan Awam Seri Pahang mcm mana ya Tan Sri..bila pemaju nk mulakan pembinaan projek tu..

Comments are closed.