Seorang anggota polis sedang memeriksa kawasan yang menjadi lokasi rempuhan orang ramai untuk mendapatkan agihan wang daripada seorang ahli perniagaan di Colombo. foto Agensi

COLOMBO – Tiga wanita terbunuh dan sekurang-kurangnya lapan lagi cedera ketika berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan wang tunai sebanyak AS$8 yang diagih-agihkan oleh seorang ahli perniagaan.

Kira-kira 1,500 orang dilaporkan berasak-asak untuk mendapatkan bantuan itu.

Seorang ahli perniagaan telah bermurah hati membuat sumbangan itu kepada mereka yang terjejas akibat Covid-19.

Jumlah agihan itu bersamaan gaji sehari buruh di Colombo.

Rempuhan itu berlaku apabila kebanyakan mereka enggan beratur.

“Kebanyakan yang datang akibat terdesak selepas kebanyakan penduduk tidak dibenarkan bekerja kerana perintah sekatan perjalanan akibat Covid-19,” kata saksi.

Disebabkan polis tidak dimaklumkan mengenai agihan itu, tindakan ahli perniagaan tersebut didapati salah.

Setakat ini enam orang yang terlibat dengan agihan yang dilakukan di sebuah gudang milik ahli perniagaan tersebut di pinggir bandar Maligawatte sudah ditahan.

Bantuan itu bagi kegunaan sambutan Aidilfitri.

Mereka yang cedera dirawat di sebuah hospital di sini. – MalaysiaGazette