Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Putra berpendapat jawatan Yang Di Pertua Melaka atau mana mana negeri yang tidak beraja diisi oleh bekas tokoh-tokoh perundangan, penjawat tinggi awam, tokoh kepolisian atau tokoh ketenteraan yang sudah bersara.

Ataupun, jawatan itu diisi oleh tokoh-tokoh ilmuan yang dihormati.

Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, sewajarnya elak pelantikan bekas tokoh-tokoh politik bagi mengisi jawatan Yang Dipertua Negeri kerana ia tidak sesuai..

”Sepatutnya mana-mana tokoh perundangan saperti mana-mana mantan Ketua Hakim Negara, contuhnya Tun Ahmad Fairuz atau bekas Ketua Setiausaha Negara seperti Tun Ahmad Sarji, Tun Hanif Omar bekas Ketua Polis Negara ,Tan Sri Dr Arshad Ayub Tokoh Pendidikan Profesional dan ada lagi ramai tokoh-tokoh bukan politik yang boleh dipertimbangkan dari berbagai latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau membuat kenyataan itu berikutan tempoh Tun Mohd Khalil Yaacob sebagai Yang Dipertua Melaka hampir tamat pada 4 Jun ini.

Ibrahim mendakwa ada beberapa nama terdiri daripada tokoh-tokoh politik disebut bakal menggantikan Khalil.

Cadangan itu, katanya merupakan langkah ke hadapan untuk kecermelangan budaya kepimpinan negeri dan negara.

Jelas beliau, tradisi melantik tokoh politik dari seorang bekas Menteri Besar atau Menteri seolah-olah menjadi hak pusaka orang politik.

”Pengiktirafan juga harus di beri kepada tokoh-tokoh yang berjasa dan dihormati dari bukan kalangan tokoh politik. Yang Dipertua Negeri juga menghadiri Mesyuarat Majlis Raja Raja dan duduk sebaris dengan Raja-Raja. Manakala Raja Raja bukan terlibat dengan kegiatan politik,” ujar Ibrahim. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Payut bagi pada Dato Seri Ali Rustam sebab orang Melaka setiap cerok dan bangsa memang suka cara pergaulan dia.

Comments are closed.