Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Majlis Kewangan Negara bersetuju meluluskan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi tahun 2022 sebanyak RM350 juta untuk membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP).

Kementerian Kewangan berkata, Majlis Kewangan Negara juga bersetuju supaya penyaluran Pemberian TAHAP ini dibuat terus kepada semua Kerajaan Negeri pada setiap awal tahun mulai tahun 2021.

Inisiatif ini merupakan komitmen dan manifestasi keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk membantu negeri-negeri yang berpendapatan rendah supaya mempunyai tambahan dana bagi melaksanakan projek-projek untuk manfaat rakyat.

”Kerajaan Persekutuan sentiasa memastikan kemudahan jalan raya di negeri-negeri disenggara dengan baik bagi mengekalkan kualiti jalan raya demi menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya Garis Panduan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) ditambah baik.

Antaranya termasuk memperluaskan perbelanjaan yang dibenarkan dengan meningkatkan had sedia ada kepada 20% atau RM50 juta mengikut mana yang terendah supaya turut merangkumi kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan/culvert, penyediaan atau pengalihan utiliti serta pemeliharaan pokok di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, berikutan daripada impak penularan wabak Covid-19, Kerajaan Persekutuan bersetuju memutuskan supaya pemberian MARRIS pada tahun 2021 disalurkan sepenuhnya walaupun kerajaan negeri tidak mencapai paras 85% perbelanjaan pada tahun 2020.

Kerajaan Persekutuan juga bersedia untuk mempertimbangkan permohonan kerajaan negeri untuk menstruktur atau menjadual semula pinjaman bagi membantu kerajaan negeri yang menghadapi kekangan kewangan bagi membuat pembayaran balik pinjaman. – MalaysiaGazette