Alassane Plea.

LONDON – Spekulasi mengenai masa depan Alassane Plea semakin menjadi panas apabila penyerang itu dilaporkan berminat untuk menyertai dengan Manchester United pada musim depan.

Plea yang bersama Borussia Monchengladbach pada musim kedua kini menjadi pemain utama Die Borussen selepas dia menghasilkan sembilan gol dan tujuh bantuan dalan Bundesliga musim ini.

Prestasi cemerlang itu membolehkan pemain berusia 27 tahun tersebut menarik minat kelab-kelab terkemuka di Eropah antara Arsenal, Tottenham dan United.

Namun sumber dari Jerman, Bild mendedahkan Plea telah memiliki sasaran kelab yang ingin disertainya pada musim depan apabila dia berminat untuk berpindah ke United.

Menurut laporan itu, Plea berhasrat untuk berpindah ke Old Trafford setelah dia berbincang dengan wakil Red Devils baru-baru ini kerana United menjadi kelab yang kemungkinan besar akan bermain di Liga Juara-Juara musim depan.

Selain itu, wakil United juga telah memberikan tawaran menarik untuknya sehingga dia semakin yakin untuk berpindah ke Old Trafford musim depan.

Laporan itu juga mendedahkan United kini mula berunding dengan Monchengladbach mengenai perpindahan Plea.

Kontrak penyerang kelahiran Perancis itu bersama Monchengladbach hanya akan tamat sehingga 2023. – MalaysiaGazette