Muhyiddin Yassin ketika mengadakan sidang video dengan pasukan barisan hadapan. foto FB Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengarahkan isu tuntutan elaun bulanan khas petugas barisan hadapan yang berkhidmat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipermudahkan dan diuruskan secepat mungkin.

Malah, beliau mahu tidak ada siapa yang ketinggalan dalam mendapatkan bantuan khas itu.

Arahan itu dikeluarkan semasa sidang video bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Turut sama dalam sidang itu ialah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Malaysia  dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam sidang video selama 30 minit itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang telah berkorban masa dan tenaga untuk mengawal situasi jangkitan Covid-19 di dalam negara terutama ketika Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba.

”Saya sangat berpuas hati dengan komitmen yang mereka tunjukkan dan mendoakan agar semua petugas barisan hadapan terus cekal mendepani wabak Covid-19.

”Sumbangan keringat mereka sejak beberapa bulan lalu dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 telah melandaikan lengkungan Covid-19. Ini sekaligus meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai kawalan serta pengurusan kes jangkitan Covid-19 yang terbaik di dunia,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Beliau turut meminta rakyat Malaysia secara keseluruhannya perlu tampil ke hadapan mengambil tanggungjawab untuk melindungi keluarga dan memelihara kawasan tempat tinggal masing-masing daripada jangkitan Covid-19.

Katanya, semua ini tidak mustahil untuk dilaksanakan dan apa yang paling penting untuk mereka lakukan ialah mematuhi segala peraturan dan prosedur standard operasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

”Saya amat berharap agar kita semua dapat bekerjasama membantu para petugas barisan hadapan untuk memastikan rantaian jangkitan COVID-19 ini akhirnya dapat kita putuskan. Insya-Allah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette