KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) pada Mac 2020 merekodkan penurunan bulanan terbesar semenjak November 1991 berikutan sekatan pergerakan selama dua minggu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, IP terus menurun kepada negatif 4.9 peratus pada bulan Mac 2020 daripada negatif 0.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Penurunan ini disumbangkan terutamanya oleh Jangkaan Nilai Jualan di sektor pembuatan (-1.7%) dan bilangan syarikat baru didaftar (-1.6%) yang secara signifikan menyebabkan kemerosotan.

Pada masa yang sama, perubahan tahunan IP merekodkan negatif 3.6 peratus pada Mac 2020 berbanding 1.7 peratus pada Februari 2020.

IP disusun untuk menjangkakan puncak dan kawah (turning points) aktiviti ekonomi dalam jangka pendek.

Penurunan mendadak dalam IP, katanya, mencerminkan penutupan dalam aktiviti perniagaan ‘non-essential’ berikutan
sekatan yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk mengekang pandemik global.

Oleh itu, ekonomi Malaysia dijangka mengalami kelembapan ketara dalam masa terdekat.

Jelas beliau lagi, berdasarkan krisis-krisis ekonomi global yang berlaku sebelum ini, didapati apa yang dijangkakan oleh IP untuk 4 hingga 6 bulan ke hadapan adalah mencerminkan realiti kemelesetan ekonomi yang bakal berlaku. – MalaysiaGazette