Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) lambat bertindak dalam mengawal kenaikan harga barang menjelang musim perayaan kali ini adalah tidak berasas dan mengelirukan orang awam.

Tohmahan itu menyebabkan kementerian termasuk pegawai dan penguatkuasa yang selama ini bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab dikritik dan menerima tohmahan negatif.

Tuduhan itu tidak adil memandangkan pegawai dan penguatkuasa KPDNHEP membahayakan keselamatan serta kesihatan diri demi menjalankan tugas ketika mengadakan perbincangan, perancangan, pemeriksaan serta operasi penguatkuasaan dalam tempoh yang sukar ketika negara berdepan Covid-19.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, beliau terkilan dengan dakwaan Anwar kononnya harga ayam pada musim perayaan (Aidilfitri) ketika zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah adalah RM3 sekilogram berbanding harga ketika ini RM7.50 sekilogram.

”Jika YB Datuk Seri Anwar terlupa, saya ingin mengingatkan beliau semula, pemeriksaan rekod yang diwartakan sebelum ini mendapati, sebenarnya harga maksimum ayam ketika itu adalah RM7.50 sekilogram, sama seperti harga maksimum yang ditetapkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) ketika ini.

”Beliau juga boleh bertanya semula dengan bekas Menteri KPDNHEP ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk kepastian memandangkan warta SHMMP yang lalu turut ditandatangani oleh beliau,” katanya.

Tegasnya, penetapan harga barangan pengguna bukan bersifat politik, sebaliknya menggunakan mekanisme tertentu yang ditetapkan oleh pegawai pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan.

Mekanisme ini sama seperti yang digunakan ketika zaman pentadbiran PH sebelum ini, malah, sebenarnya dalam SHMMP kali ini, KPDNHEP membuat penambahan barang kawalan iaitu sebanyak 35 barangan berbanding 27 barangan pada 2019 ketika negara berada di bawah pentadbiran PH.

Malah, katanya, dakwaan sesetengah pihak bahawa harga barangan termasuk ayam meningkat ketika ini sebenarnya adalah bersifat tanggapan semata-mata kerana hakikat sebenar, harga ini ditentukan oleh teori asas ekonomi iaitu faktor permintaan dan bekalan.

”Hujah harga yang agak murah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tidak sesuai digunakan kerana ketika itu permintaan menurun disebabkan banyak aktiviti perniagaan dan kehidupan harian rakyat disekat.

”Ia menyebabkan lebihan bekalan, seterusnya memaksa peniaga dan pembekal menurunkan harga,” jelasnya.

Alexander menambah, keadaan ketika ini agak berbeza kerana selepas kelonggaran diberikan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kebanyakan aktiviti ekonomi dan kehidupan rakyat sudah kembali seperti biasa.

Ditambah dengan sambutan perayaan yang semakin hampir, permintaan terhadap barangan juga meningkat, sekali gus menyebabkan harganya kembali seperti sedia kala.

Menyedari harga barangan boleh melambung jika tidak dikawal, KPDNHEP mengambil langkah proaktif mengadakan SHMMP yang sebenarnya menjadi rutin sejak sekian lama, setiap kali menjelang musim perayaan.

Justeru tidak timbul isu KPDNHEP lambat bertindak dan tidak serius dalam mengawal harga barangan, sebaliknya usaha mengawal harga barang ini sebenarnya bukan hanya dilakukan semata-mata menjelang musim perayaan tetapi sejak PKP lagi bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan tiada kenaikan harga berlaku.

Hasilnya, walaupun banyak sektor ekonomi termasuk kilang dan aktiviti pertanian ditutup sepanjang PKP lalu, Malaysia tidak mengalami masalah bekalan makanan, malah tiada kenaikan harga yang melampau melainkan beberapa kes terpencil oleh pihak tidak bertanggungjawab yang sudah pun dikenakan tindakan oleh KPDNHEP.

”Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan KPDNHEP secara keseluruhan yang menjalankan tugas dengan baik, walaupun ada segelintir pihak lebih gemar mencari atau mengada-adakan kesalahan mereka.

”Sebagai Menteri, saya juga tidak hanya mengharapkan maklumat atau laporan semata-mata daripada pegawai, sebaliknya saya serta Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian kerap turun padang termasuk meninjau operasi setiap rantaian pengeluaran produk makanan.

”Kami juga kerap mengadakan perbincangan dengan pemain industri selain kementerian berkaitan untuk memastikan bekalan dan harga barang keperluan sentiasa stabil untuk jangka masa pendek dan panjang.

”Saya mungkin baru sahaja dilantik menerajui KPDNHEP, tetapi ingin saya tegaskan, saya sentiasa mendapat nasihat dan pandangan daripada barisan pegawai berpengalaman di dalam kementerian ini.

”Jangan menghina mereka ini yang menggadaikan nyawa untuk bertugas di luar ketika segelintir kita hanya selesa membuat pelbagai tuduhan dihadapan kamera atau telefon. Saya sangat kecewa jika tindakan itu semata-mata bertujuan politik dengan maksud menghasut pengguna lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan isu rakyat ketika mereka terkesan akibat PKP serta PKPB,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cik non kurang kerja, bontot ayam pun sibuk nak control. Cari le kerje berfaedah sikit.

Comments are closed.