Dr. Ibrahim membawa semangat Badarul Kubra sebagai nilai perjuangan dan kekuatan diri.

BULAN Ramadan sudah di penghujung dan 1 Syawal akan menjelang tiba, esok. Ramadan adalah bulan pengorbanan dan dipenuhi dengan sejarah besar perjuangan umat Islam.

Perang Badar yang menjadi titik tolak kejayaan atau kematian umat Islam juga berlaku dalam bulan Ramadan. Maka, jelas sekali Islam mengajar umatnya untuk terus berjuang dalam apa jua keadaan sebagai khalifah di muka bumi ciptaan Allah SWT.

Pada 8 Mei 2020 yang lalu, telah mencatat sejarah bagi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang meraikan ulang tahun pertamanya pada hari Jumaat bersamaan 15 Ramadan 1441H, penghulu segala hari.

Ini adalah satu suntikan perjuangan kepada Putra untuk terus menjadi benteng dan wadah perjuangan hak-hak orang Melayu dan menghayati Islam sebagai cara hidup yang diredhai Allah SWT.

Bagi menghidupkan rasa semangat terhadap perjuangan, maka teruskanlah semarakkan api perjuangan dengan mengasah jati diri dan jiwa patriotisma. Jangan letur dan lesu, namun genggam bara api biar sampai jadi arang.

Saya juga percaya semangat Badarul Kubra mampu menjadi nilai-nilai perjuangan dan nilai kekuatan diri yang boleh diserapkan ke dalam diri. Biarpun sedikit, tetapi iltizam dan keazaman mampu mengalahkan bilangan yang ramai.

Sejarah mencatatkan bilangan tentera Musyrikin lebih tiga kali ganda daripada tentera Muslim, namun kebergantungan kepada Allah SWT memberikan kemenangan kepada tentera Islam.

Insya-Allah, sama-sama kita berikrar dengan apa saja pengorbanan untuk terus mempertahankan “bumi kita tidak akan dipijak orang”.

Mungkin ramai yang keluh-kesah kerana Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini sangat berbeza akibat pandemik Covid-19 yang memaksa kita semua patuh kepada PKP.

Kita mula membiasakan diri dengan ‘Normal Baharu’ tanpa majlis berbuka puasa, solat Tarawih berjemaah di masjid dan juga solat Sunat Aidilfitri di masjid. Namun, ianya juga membawa hikmah di mana kita sama-sama memperkasakan kehidupan berdisiplin dan melakukan ibadah di rumah masing-masing dengan penuh tawaduk. Pasti ianya lebih khusyuk dan tenang.

Sempena Aidilfitri ini, marilah sama-sama kita mengucapkan tahniah dan amat berterima kasih serta terhutang budi kepada semua petugas barisan hadapan dalam melawan Covid-19, terutama doktor, jururawat, pasukan khidmat sokongan, polis dan tentera, pasukan sukarelawan yang bekerja siang malam tanpa mengira penat, berisiko merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19 serta NGO-NGO dan berbagai kumpulan yang  bersemangat membantu mengedar makanan kepada petugas dan masyarakat yang terjejas serta terkesan akibat PKP. Syabas Putra ucapkan dan tidak dilupakan juga Putra akar umbi yang turut membantu.

Putra sangat kesal kerana negara kita Malaysia sedang menghadapi berbagai cabaran yang amat membimbangkan.

Krisis politik (Peralihan dan Perebutan Kuasa), krisis kesihatan (Covid-19), krisis ekonomi dan kewangan negara, ketegangan antara kaum, ancaman berbagai jenis pendatang asing yang sudah berjuta jumlahnya, penjualan Mykad dan kewarganegaraan, pengangguran yang makin meningkat, ancaman berbagai gejala sosial sehingga pemandu mabuk saban hari berlaku menyebabkan mangsa terbunuh.

Ini belum disenaraikan lagi keluh resah umat Melayu Islam dan kaum pribumi yang dihimpit dengan berbagai isu serta masalah di bumi sendiri. Isu mengemis di bumi sendiri, kemiskinan dan hak milik harta sehingga ke 1001 macam masalah dan isu yang amat menyakitkan hati dan membimbangkan.

Putra amat bimbang dan akan terus bersuara serta membangkitkan isu seperti pemilikan kewarganegaraan secara mudah serta dalang penjualan kad pengenalan dan kad UNHCR, penyeludupan masuk pendatang haram, tapi dirancang oleh pihak yang jelas terlibat dengan rasuah. Mereka yang terlibat adalah penderhaka negara yang mesti dihumban ke liang lahad tanpa simpati.

Krisis politik yang berterusan dan meloyakan. Gaji dan elaun para Menteri, Ahli Parlimen dan peringkat negeri yang berjumlah puluhan ribu ringgit setiap bulan tidak membantu kestabilan politik negara dengan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat, tetapi menambahkan lagi masalah dengan perebutan kuasa yang makin menjijikkan rakyat.

Semuanya dua kali lima dan lima kali dua. Pengajarannya kepada rakyat, berhati-hatilah memilih wakil atau pemimpin. Jangan lihat pada pakaian dan percakapannya, tetapi lihatlah kepada perbuatan dan gaya hidupnya. Kenali dan jauhilah memilih pemimpin hipokrit serta munafik jika ingin umat dan negara selamat.

Sudah terang lagi bersuluh dan sangat menyedihkan kerana mereka yang diharapkan membawa kemenangan bagi umat Melayu Islam dan pribumi merupakan manusia durjana yang bersengketa kerana merebut harta kekayaan dan kuasa.

Harta rakyat digunakan dengan tipu helah kuasa demi kelangsungan kehidupan mewah yang melampau. Inilah pemimpin yang boleh disifatkan seperti Harapkan pegar, pegar makan padi. Islam dijadikan modal politik dan perisai bagi membolos kuasa untuk kemewahan hidup, namun rakyat serta kaum pribumi mengigit jari.

Lihatlah betapa perihnya kehidupan masyarakat Orang Asli. Ingatlah, akan tiba saat Allah SWT melucutkan kuasa yang diberikan kepada mereka yang melakukan kezaliman secara terancang ini.

Lahirnya Putra adalah kerana rintihan dan keluhan umat Melayu Islam dan kaum pribumi yang sudah merasakan tidak ada erti kemerdekaan negara kerana nikmat dikecapi orang ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Bumi mula dimiliki orang, bangunan mahligai milik orang, namun atap rembia milik pribumi. Bukan salah ibu mengadung, bukan salah pejuang kemerdekaan, tapi salah rakyat kerana tertipu dengan pemimpin retorik dan yang tidak ada “political will” atau keberanian politik. Hanya pemimpin bertuhankan harta dan pangkat untuk diri sahaja.

Akhir kata, salam perjuangan dan jangan kita berputus asa. Kepada warga Putra, sentiasalah kita bermuhasabah diri dan tidak bersifat mengata dulang paku serpih, mengata orang kita yang lebih. Perkasakan diri kita dahulu dengan amalan hidup yang bersih, jujur, tidak rasuah, teguh moral, berjiwa rakyat dan sentiasa mencari serta menambah ilmu.

Insya-Allah, rakyat akan sokong dan Allah akan memberi kemenangan. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1441H /2020M kepada semua muslimin dan muslimat. – MalaysiaGazette

Perutusan Aidilfitri Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali