Dr Juliana Jalaludin

KUALA LUMPUR – Sistem imuniti rendah melawan penyakit antara penyumbang kes kanak-kanak paling ramai dijangkiti Covid-19 dan Selangor mencatatkan kes jangkitan paling tinggi iaitu 77 kes.

Ia kemudiannya diikuti 48 kes di Negeri Sembilan manakala 44 kes di Johor yang direkod pada 19 Mei lalu.

Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, Prof Madya Dr Juliana Jalaludin berkata, ketiga-tiga negeri berkenaan mempunyai populasi penduduk yang tinggi.

Katanya, populasi yang tinggi menyumbang kepada isu kesesakan trafik, industri, perkilangan, gaya hidup seperti merokok, tahap ekonomi keluarga serta pergerakan ibu bapa yang keluar bekerja lebih kerap antara faktor yang boleh diambil kira dalam menganalisa trend jangkitan.

“Sebagaimana kajian sebelum ini, kawasan populasi penduduk yang tinggi dan kualiti udara setempat rendah berhubung kait dengan tahap kesihatan penduduk khususnya kanak-kanak.

“Dalam erti kata lain, tahap imuniti kanak-kanak di kawasan kualiti udara tercemar lebih rendah berbanding di kawasan yang bacaan kualiti udaranya lebih baik.

“Faktor yang sama juga dipercayai menyumbang kepada rekod jangkitan penyakit kuku, tangan dan mulut (HFMD) di kalangan kanak-kanak lebih tinggi di Selangor berbanding negeri lain.

“Bagaimanapun, kajian lanjut mengenai punca yang menyebabkan kenapa kanak-kanak dijangkiti masih dijalankan pihak berkenaan,” katanya kepada wartawan.

Tambah Dr Juliana, masalah pernafasan akibat pencemaran udara boleh menjadi faktor kelemahan sistem pertahanan manusia untuk menerima agen penyakit seperti virus.

Katanya, kajian penyelidik Universti Harvad di Amerika Syarikat menunjukkan hubungan kematian akibat kes Covid-19 dengan kepekatan zarahan halus PM2.5 tinggi di udara.

“Insiden kes Covid-19 berlaku lebih tinggi di Lembah Klang dan beberapa bandar besar lain memerlukan kajian serupa dilakukan di negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, faktor kanak-kanak dibawa bersama ke tempat awam dengan tahap penjagaan kebersihan seperti tiada pemakaian topeng muka atau penjarakan sosial juga boleh dikaitkan sebagai punca jangkitan.

“Kajian masih dijalankan, termasuk adakah kanak-kanak itu memiliki latar belakang penyakit yang boleh melemahkan tahap imuniti i badan serta menjadi punca komplikasi apabila dijangkiti Covid-19.

“Sebagai contoh, Johor adalah negeri yang banyak kawasan industri, kepadatan penduduk serta berhampiran negara berisiko seperti Singapura dan Indonesia.

“Faktor lokasi boleh juga dikaitkan kemungkinan jangkitan sama ada rakyat tempatan bekerja di sana atau pekerja asing yang bekerja di sini,” katanya.

Tambahnya, di Indonesia, sebanyak 3,324 kes jangkitan kanak-kanak dilaporkan pada 18 Mei lalu manakala 14 daripadanya sudah meninggal dunia.

“Sebanyak 20,796 kes jangkitan dan 1,326 kes kematian dilaporkan. Jumlah populasi penduduk di Indonesia adalah 267.7 juta.

“Kes termuda di Indonesia adalah bayi 22 bulan dan dilaporkan mempunyai masalah kesihatan kekurangan nutrisi serta Tibi.

“Di sana, kerajaan terpaksa melonggarkan kawalan pergerakan kerana banyak industri ditutup, pekerja hilang pendapatan serta kerajaan tidak mampu menyalurkan bantuan khas.

“Terdapat kes di mana jangkitan berlaku kerana bermain dengan kanak-kanak yang ada jangkitan. Yang mungkin juga asymptomatic (pembawa wabak tanpa simptom).

Dr Juliana berkata, ketika penularan pandemik di Wuhan, ramai menyangka kanak-kanak kurang risiko untuk dijangkiti.

“Jadi, mereka kurang memberi perhatian kepada golongan ini.

“Bagaimanapun, di Eropah, Amerika Syarikat dan Brazil, kita tengok ramai kanak-kanak kena, komplikasi teruk ada, kematian pun ada.

“Apa yang kita boleh belajar dari sini? Covid-19 adalah satu penyakit yang baru diketahui umum belum diketahui sejauh mana potensinya merebak dan bermutasi menyesuaikan diri untuk bertahan lama dalam persekitaran.

“Sehubungan itu, pada musim perayaan ini, langkah penjagaan penjarakan sosial, kebersihan perlu ditingkatkan khususnya di kalangan kanak-kanak.

“Ibu bapa perlu tahu status kesihatan tetamu atau mana-mana individu yang berinteraksi dengan mereka atau anak-anak mereka agar langkah pencegahan awal dapat diambil,” katanya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.